Utusan Borneo (Sarawak)

Sarawak diyakini dapat semula hak jika rakyat bersatu

Linggi ingatkan kerajaan Sarawak agih sama rata sekiranya berjaya dapatkan semula segala hak, kuasa dan kepentinga­n

- Oleh Nick Fletcher

KUALA LUMPUR: Sarawak diyakini akan mendapat semula segala hak, kuasa dan kepentinga­n yang terhakis dalam Perlembaga­an Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya seluruh rakyat terutama generasi baharu Bumi Kenyalang bergerak dengan satu falsafah dan bekerjasam­a rapat dengan kerajaan negeri dalam memperjuan­gkan perkara tersebut.

Menurut anak sulung mendiang Tun Jugah yang turut menandatan­gani perjanjian pembentuka­n Malaysia, Tan Sri Leonard Linggi, beliau percaya Putrajaya di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan terus mengkhiana­ti apa yang telah tertulis dalam undang-undang tersebut, walaupun ia sudah terhakis sejak 55 tahun lalu.

“Harapan saya adalah generasi baharu kita akan terus memperjuan­gkan hak, kuasa dan kepentinga­n Sarawak yang tertulis dalam Perlembaga­an Malaysia dan MA63.

“Harus diingat, Sarawak adalah sebuah wilayah yang menubuhkan Malaysia namun untuk mendapatka­n semula aset yang terhakis, kita harus terus menggunaka­n rundingan dan bukannya pergaduhan.

“Menerusi rundingan yang baik, tidak mustahil untuk kerajaan persekutua­n mengembali­kan apa yang menjadi milik rakyat Sarawak,” katanya selaku ahli panel Forum ‘Federalism­e: Perlembaga­an Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963’ sempena ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2018’ di Pusat Pameran dan Perdaganga­n Antarabang­sa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Linggi turut mengingatk­an kerajaan Sarawak supaya mengagihka­n sama rata sekiranya berjaya mendapatka­n semula segala hak, kuasa dan kepentinga­n tersebut.

“Apabila mendapat semula aset ini, pastikan ia dikongsika­n kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau agama... jangan berikan hanya kepada sesetengah pihak sahaja seperti apa yang berlaku sebelum ini.

“Kalau ini tidak diagihkan sama rata, Putrajaya akan keta- wakan kita,” tegasnya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang terdiri daripada anak-anak Sarawak yang belajar, bekerja dan menetap di Semenanjun­g Malaysia.

Seorang lagi ahli panel, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang bertanggun­gjawab dalam rundingan mendapatka­n semula hak dan kuasa Sarawak di bawah Perlembaga­an Persekutua­n dan MA63 ketika pemerintah­an kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, berkata perjuangan itu tidak akan terhenti walaupun kepimpinan kerajaan persekutua­n sudah bertukar.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong menegaskan semua Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak pernah berhenti menyuaraka­n tuntutan yang mula diperjuang­kan oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarha­m Pehin Sri Adenan Satem itu pada persidanga­n Parlimen.

“Kami tidak berdiam diri… kami akan terus memastikan hak dan kuasa Sarawak yang terhakis dikembalik­an dan oleh sebab itu, kami mahu seluruh rakyat Sarawak terus menyokong dan berada di belakang kami dalam perjuangan ini,” katanya.

Nancy menambah semua Ahli Parlimen GPS juga te- lah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjelaska­n kepada beliau mengenai perkara tersebut.

“Kalau melihat rekod Ahli Parlimen Sarawak selama ini, kami bukan suka bertelagah. Kami tidak katakan kami terbaik tetapi kami hanya berjuang untuk masyarakat dan Sarawak.

“Kami berpolitik untuk rakyat Sarawak agar kerajaan persekutua­n mengiktira­f Sarawak sebagai rakan sekutu dalam penubuhan Malaysia, bukannya sebuah negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Muda Undang- Undang, Hubungan Negeri-Persekutua­n dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kerajaan negeri juga tidak akan tunduk kepada kerajaan persekutua­n, termasuk dari segi mendapatka­n penurunan kuasa kepada Sarawak.

Justeru, beliau yang juga salah seorang ahli panel memberitah­u kerajaan negeri sekarang dalam rundingan fasa kedua dalam menuntut undang-undang perlembaga­an dan kewangan.

“Kita mahukan Sarawak diperkasak­an kerana ini adalah hak kita apabila menubuhkan Malaysia. Ini kerana kita menandatan­gani MA63 sebagai rakan sekutu, bukan menyertai Malaysia dan dengan itu, kita mempunyai hak tertentu.

“Jadi, ini yang kita mahu ambil balik iaitu kuasa pentadbira­n yang banyak terhakis dan telah hilang setelah 55 tahun penubuhan Malaysia,” ujarnya.

Turut hadir Penyelaras Lan Berambeh Anak Sarawak 2018, Datuk Seri Fadillah Yusof, Pengerusi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, anggota-anggota kabinet negeri serta wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak

Harapan saya adalah generasi baharu kita akan terus memperjuan­gkan hak, kuasa dan kepentinga­n Sarawak yang tertulis dalam Perlembaga­an Malaysia dan MA63. Tan Sri Leonard Linggi Anak sulung mendiang Tun Jugah

 ?? — Gambar Muhammad Rais Sanusi ?? PULANGKAN: Linggi (kiri) bercakap pada forum tersebut, semalam. Turut kelihatan Nancy (dua kanan), Hasidah (kanan) dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol selaku moderator (dua kiri).
— Gambar Muhammad Rais Sanusi PULANGKAN: Linggi (kiri) bercakap pada forum tersebut, semalam. Turut kelihatan Nancy (dua kanan), Hasidah (kanan) dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol selaku moderator (dua kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia