Utusan Borneo (Sarawak)

Punca kematian tiga beranak tiada unsur jenayah setakat ini: Polis

-

KANGAR: Bedah siasat yang dibuat oleh tiga pakar forensik terhadap tiga mayat sekeluarga yang lemas di dalam Sungai Arau pada Rabu mendapati tiada kecederaan fizikal pada tubuh mereka yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata bagaimanap­un punca kematian hanya boleh dimuktamad­kan selepas analisis toksikolog­i dibuat oleh Jabatan Kimia dalam masa beberapa hari lagi.

Mayat Norzalina Baharom, 35, ibunya Norma Pin, 64, dan bapanya, Baharom Ahmad, 66, selesai dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, petang kelmarin.

Mayat Baharom ditemui di pintu tali air Sungai Tambun Tulang di Simpang Empat kira-kira 10 kilometer dari tempat mayat isterinya, Norma ditemui di dalam sungai sama manakala mayat Norzalina ditemui di dalam Sungai Arau berdekatan Kampung Belat Batu antara jam 8.35 pagi hingga 12.10 tengah hari.

Kelmarin polis mendapat perintah menahan reman anak lelaki pasangan itu, Mohd Zali, 37, yang naik ke darat selepas terjun ke dalam Sungai Arau bersama tiga anggota keluargany­a bagi membantu siasatan.

Mohd Zali yang pulang ke Sungai Petani dengan menaiki kereta api dari Arau pada pagi Khamis, ditahan di Taman Ria Sungai Petani tengah malam, hari yang sama.

Misteri kematian tiga beranak itu terjawab selepas Mohd Zali membuat pengakuan kepada polis punca mereka mengambil tindakan itu dengan meminum racun dan terjun ke dalam sungai di Kampung Bakong Arau pada jam 2.45 pagi Rabu lepas.

Noor Mushar berkata suami Norzalina, Othman Ramli, 39, dan seorang cucu saudara Allahyarha­m Norma, Nor Malia Ahmad, 31, telah membuat pengecaman dan mengesahka­n identiti ketigatiga mangsa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia