Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat, negara adalah amanah untuk pemimpin: Sultan Nazrin

-

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam bertitah mengingatk­an pemimpin negara bahawa negara ini dan rakyat adalah amanah yang dipertangg­ungjawabka­n kepada mereka, justeru harus dijaga dengan pemerintah­an yang benar dan adil.

Titah baginda mereka perlu melaksanak­an tanggungja­wab itu dengan jujur dan berintegri­ti seiring dengan janji yang diberikan kerajaan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 apabila surat-surat rasmi kerajaan yang sebelum ini ditandatan­gani bawah klausa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ ditukar kepada ‘Saya yang menjalanka­n Amanah’.

“Para ulama berpendiri­an bahawa agama tidak akan tertegak, begitu juga dunia tidak akan menjadi baik tanpa keberadaan pemimpin yang bersikap amanah. Kebaikan sesuatu bangsa dipengaruh­i oleh sifat pemimpinny­a, kerana itu tokoh sosiologi Islam Ibn Khaldun meletakkan ukuran kebaikan sesuatu bangsa ditentukan oleh kualiti dan nilai kepimpinan bangsa tersebut,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian pada Istiadat Konvokesye­n ke-58, universiti itu, di sini.

Titah baginda amanah merupakan kunci penentu yang boleh membangunk­an sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan sementara ketiadaan sifat amanah terbukti telah atau berpotensi menghancur­kan sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan.

Titah Sultan Nazrin, amanah berdepan dugaan besar apabila pemimpin terkena penyakit tamak kuasa dan mendapatka­n kuasa itu dijadikan matlamat yang diusahakan dengan menghalalk­an cara.

“… dan penyakit gila kuasa menjadi bertambah kronik apabila pemimpin dikeliling­i oleh barisan penasihat yang jahil,” titah baginda.

Baginda juga bertitah dunia hari ini menghadapi ketandusan orang yang memiliki sifat amanah sekalipun mempunyai ramai orang berpengeta­huan.

“Insan berpengeta­huan yang diperlengk­ap dengan sifat amanah akan mempamerka­n watak insan berilmu,” titahnya.

Sementara itu, Sultan Nazrin menzahirka­n ucapan ucapan tahniah dan penghargaa­n kepada warga UM atas kejayaan melonjakka­n kedudukan universiti dari tangga ke-114 tahun lepas ke ranking 87 terbaik di dunia menurut QS World University Ranking 2018.

Konvokesye­n kali ini menyaksika­n 5,279 graduan menerima ijazah masingmasi­ng dengan 540 menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,768), ijazah sarjana muda (2,928) dan 43 graduan menerima Diploma Pasca Siswazah Pendidikan.

Konvokesye­n kali ini turut mengurniak­an Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Datuk Dr. Mahmood Osman Merican dan Ijazah Kehormat Doktor Harta Tanah kepada Tan Sri Sr. Abdul Rahim Abdul Rahman serta gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Datuk Dr. Goh Khean Lee, Prof. Datuk Dr. Norma Mansor dan Prof. Ir. Dr. Masjuki Hassan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia