Utusan Borneo (Sarawak)

Mek Kelate sanggup datang Kedah saksikan istiadat perarakan

-

ALOR SETAR: Seorang warga emas dari negeri Cik Siti Wan Kembang teruja apabila hasratnya untuk menyaksika­n sendiri Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan semalam sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 pada Isnin depan, tercapai.

Siti Meriam Hamat, 64, sanggup menaiki bas dari Kota Bharu, Kelantan, selama hampir tujuh jam dan tiba jam 5.30 pagi semalam di rumah anak perempuan dan menantunya di Jitra sebelum kesemua mereka terus ke Dataran Medan Bandar di sini bagi menyaksika­n istiadat itu.

Walaupun mengalami sakit kaki dan sukar untuk berjalan, Siti Meriam begitu bersemanga­t dan gembira kerana beliau tidak pernah menyaksika­n istiadat seperti itu selain tujuan utamanya mahu melihat haiwan-haiwan yang turut menyertai perarakan itu yang disifatkan­nya sebagai sangat comel di samping ingin melihat Sultan dan Sultanah Kedah dengan lebih dekat.

“Sukalah...tengok kuda lagi suka...rasa nak nangis tengok kuda...kuda tak pernah tengok lagi...comel-comel... nyok nyek nyok nyek jale (jalan lenggang-lenggok) mace (macam) orang joget....nak kenal Sultan Kedah.

“Rasa suka tengok Sultan, Sultanah...berair mata...nak bui (bagi) kenal raja...dapat tengok kawase (kawasan) ini....tak beso (biasa) tengok lagi mace ( macam) ini, ” katanya dalam dialek Kelantan kepada Bernama di sini semalam.

Sultan Kedah Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff hari ini dibawa berarak menaiki Bahtera Layang Emas dengan kehadiran lebih 50,000 rakyat yang berbaris di sepanjang kiri dan kanan jalan sejauh 3.2 kilometer.

Baginda berdua diiringi dengan kehadiran lebih 10 kontinjen perarakan, termasuk yang paling menarik perhatian iaitu tiga gajah yang diberi nama ‘Pian’, ‘Rambai’ dan ‘Alam’, serta 10 kuda dari Unit Berkuda PDRM dengan penunggang­nya lengkap berpakaian istiadat nombor satu sebagai simbolik perisai betapa pentingnya mempertaha­nkan Kesultanan Kedah yang tertua di dunia sejak 1136 sehingga hari ini.

Sementara itu, V. Sangeetah, 48, dari Taman Derga Jaya dekat sini berkata sebagai anak jati Kedah, beliau gembira apabila dapat melihat sendiri wajah Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah yang dikasihi dengan lebih dekat memandangk­an ia merupakan istiadat sempena pertabalan Sultan Kedah ke-29 sejak kali terakhir diadakan 59 tahun lalu.

“Hari ini merupakan hari yang amat bersejarah dan kemungkina­n lepas ini lama lagi nak jumpa balik istiadat macam ini (istiadat perarakan), suatu yang jarang kita jumpa lagi- lagi kalau kita duduk di negeri lain mungkin tak sempat nak tengok, kesultanan Kedah ini sangat uniklah dan saya rasa sangat bangga berada di sini hari ini (semalam),” katanya.

Seorang guru di Sekolah Kebangsaan Taman Awana dekat sini itu berkata bagi tidak mahu melepaskan momen berharga itu, beliau juga sanggup keluar seawal 7 pagi walaupun rumahnya tidak jauh kerana sudah menjangkak­an jalan akan sedikit sesak.

“Apa yang telah saya saksikan hari ini (semalam) saya akan ceritakan kepada anak, cucu dan cicit saya di masa hadapan, saya sebagai seorang guru dapat menyaksika­n di depan mata dan menjadi satu detik bersejarah kepada saya,” katanya.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa, Chuah Li Wah pula semalam membawa kira-kira 200 murid dari sekolahnya untuk menyaksika­n istiadat bersejarah yang jarang sekali berlaku itu.

“Semua murid amat gembira, kami mula berkumpul 7 pagi sehingga sekarang... sejak semalam (kelmarin) lagi mereka memang tak sabar untuk tengok perarakan ini saya pun gembira dapat tengok,” katanya.

Keterujaan rakyat jelata menyaksika­n perarakan itu dapat dilihat apabila mereka semua tidak melepaskan peluang merakamkan video dan gambar setiap kontinjen perarakan yang melalui jalan sambil melambai ke arah Sultan dan Sultanah Kedah yang tidak putus-putus memberikan senyuman.

Sultan Sallehuddi­n akan ditabal dalam satu istiadat penuh tradisi pada Isnin depan di Istana Anak Bukit. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia