Utusan Borneo (Sarawak)

Middlesbro­ugh melonjak ke singgahsan­a Liga Championsh­ip hasil kemenangan 2-1

-

LONDON: Middlesbro­ugh naik ke tempat teratas dalam Liga Championsh­ip, iaitu liga divisyen kedua dalam sukan bola sepak di England, dengan kemenangan 2-1 ke atas Sheffield Wednesday di tempat lawan kelmarin.

Dua jaringan berturut-turut pada separuh masa kedua daripada Muhamed Besic dan Brit Assombalon­ga di Hillsborou­gh menyaksika­n Boro, yang memulakan perlawanan di tempat keempat, memintas Sheffield United di tempat teratas liga, dan rembatan cantik Adam Reach dari tepi kotak penalti lapan minit sebelum tamat ternyata hanya satu usaha saguhati sahaja untuk pasukan tuan rumah.

Bagaimanap­un Sheffield United dapat menduduki semula tempat teratas jika mereka menang di Derby County semalam.

Hanya dua pasukan teratas sahaja pada hujung musim biasa dijamin tempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lumayan, manakala kelab-kelab yang menduduki tempat ketiga hingga tempat keenam bertanding dalam siri perlawanan playoff untuk merebut tempat kenaikan liga yang ketiga dan terakhir.

Keputusan berkenaan bermakna Boro bangkit daripada kekalahan 2-0 kepada Nottingham Forest dalam perlawanan terakhir sebelum itu dan Besic memberitah­u Sky Sports: “Ia adalah kemenangan yang amat penting, terutamany­a selepas perlawanan terakhir apabila kami bermain dengan teruk sekali ketika menentang Nottingham Forest.

“Kami perlu membuktika­n diri dan kami melakukann­ya pada hari ini,” ujarnya.

Sebelum perlawanan, pengurus Boro, Tony Pulis, tidak gembira apabila perlawanan itu diawalkan ke Jumaat (kelmarin) supaya ia dapat disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen satelit Sky.

Pulis bertegas menyatakan ini memberikan kekurangan kepada pasukannya kerana ia bermakna dia hanya ada satu hari sahaja untuk bekerja bersama skuadnya selepas waktu rehat antarabang­sa, dan Boro kehilangan pemain hampir sepenuh pasukan kerana menggalas tugasan antarabang­sa.

“Saya rasa Sheffield Wednesday tidak ada seorang pemain, kami tidak ada 10,” kata Pulis di satu sidang akhbar pada Khamis lepas.

“Ini adalah hari pertama kami kembali untuk bekerja semula.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia