Utusan Borneo (Sarawak)

Tumpuan perlu diberi kepada kumpulan berisiko: Ong

-

KUALALUMPU­R: Tumpuan perlu diberi kepada kumpulan berisiko atau kumpulan pada margin, berbanding hanya melihat kepada langkah-langkah menangani kemiskinan untuk mengenal pasti mereka yang berada di bawah garis kemiskinan, kata Timbalan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata kumpulan berisiko ini merupakan isi rumah yang tidak berada di bawah garis kemiskinan tetapi mereka boleh tergolong dalam kemiskinan disebabkan keadaan yang tidak dijangka.

“Misalnya, mereka yang mencari nafkah mengalami kemalangan dan tidak boleh bekerja lagi atau meninggal dunia. Atau jika seseorang dalam keluarga, anak misalnya, tiba-tiba jatuh sakit dan perlu menanggung kos perubatan yang tinggi untuk dirawat, menganggap kanak-kanak itu tidak mempunyai insurans perubatan.

“Antara golongan miskin bandar di Kuala Lumpur, satu daripada tiga isi rumah tidak mempunyai jaringan keselamata­n sosial. Ini bermakna tiada insurans, tiada PERKESO atau tiada KWSP,” katanya semasa merasmikan forum End Poverty Day 2018: Piecing Together the Poverty Puzzle di sini kelmarin.

Beliau berkata kumpulan ini menekankan keperluan untuk melihat selain daripada hanya angka pendapatan dan menekankan keperluan untuk turut melihat kepada angka kekayaan.

“Angka ini akan menunjukka­n pengagihan sumber yang tidak sama berbanding pekali Gini untuk golongan berpendapa­tan.

“Hakikat bahawa banyak isi rumah tidak mengumpul kekayaan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkina­n risiko tertentu, seperti penyakit dan kemalangan, turut menggambar­kan jumlah isi rumah yang boleh dianggap sebagai kategori ‘berisiko’,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia