Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki didakwa ugut tetak dua pemuda

-

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menakutkan dua pemuda dengan menguggut untuk menetak mereka.

Muhammad Kamal Iskandar Yaakop,31, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Nur Eiman Mohd Radzi, 23, dan Muhammad Shabirin Mohd Azhar, 24, di sebuah rumah di Taman Dato Senu, Sentul di sini pada 10.30 malam, 16 Oktober lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduaduany­a, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam dan Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menetapkan 22 November untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan, seorang pelajar didenda RM500 dan penjara satu minggu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua karton minuman keras dan dua botol losyen bernilai RM105.70 di Pasaraya AEON Big Kepong, Sentul di sini pada 9.45 malam, 19 Oktober lepas.

Majistret Wong Chai Sia memerintah­kan tertuduh Muhammad Zulhilmi Sholehat, 24, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkap pada 19 Oktober lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia