Utusan Borneo (Sarawak)

Larang ketua masyarakat, kaum hadiri majlis tercetus daripada tindakan persekutua­n sendiri

-

KUCHING: Tindakan Kerajaan Sarawak melarang ketua masyarakat dan ketua kaum daripada menghadiri majlis bukan anjurannya tercetus daripada tindakan kerajaan persekutua­n sendiri.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata tindakan ini telah dimulakan oleh kerajaan persekutua­n dengan melarang jabatan dan agensinya menjemput wakil rakyat kerajaan negeri ke majlis atau program mereka.

“Jika anda tanya saya setuju atau tidak dengan tindakan Kerajaan Sarawak melarang ketua masyarakat dan ketua kaum menghadiri majlis bukan anjuran Kerajaan Sarawak, kerajaan persekutua­n yang mulakannya dulu.

“Jika anda perasan, semua sekolah diberikan arahan untuk tidak menjemput wakil rakyat Kerajaan Sarawak ke majlis mereka. Jadi ia adil untuk Kerajaan Sarawak melakukan perkara yang sama.

“Lihat Jabatan Penerangan sekarang, mereka enggan membantu kami dan begitu juga dengan bomba, tetapi saya menghargai ketua jabatan yang membuat keputusan sendiri.

“Sebab itu semasa menghadiri majlis di SMK Marudi, saya tanya adakah mereka sudah mendapat kebenaran daripada pihak atasan mereka,” ujar Penguang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media mengenai Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan ( Pelesenan dan Kawalan Anjing), 2018 di Tingkat 2, Bangunan Baitulmakm­ur di sini semalam.

Tambah Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Marudi, beliau telah membelanja­kan lebih daripada RM2 juta untuk sekolah dalam kawasannya.

Malah katanya, tahun lepas sahaja beliau telah membina lima stadium mini dan telah menyerahka­n begitu banyak geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi membantu rakyat dalam kawasannya.

Jadi katanya, jika mereka tidak menjemput wakil rakyat seperti kami ke majlis mereka terutama sekolah yang rugi adalah pelajar.

Mengenai kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa DAP Sarawak sedia memberi khidmat guaman secara percuma kepada ketua masyarakat dan ketua kaum, Penguang berkata beliau tidak faham apa niat Chong dan DAP Sarawak.

Jelas Penguang, harus diketahui bahawa ketua masyarakat dan ketua kaum adalah dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan mereka adalah pegawai kerajaan yang membina jambatan antara rakyat dan kerajaan.

Terma dan syarat ketua masyarakat dan ketua kaum dinyatakan dengan jelas bahawa mereka perlu memainkan peranan untuk menghubung­kan kerajaan dengan rakyat, menjadi suara rakyat dan pada masa yang sama menyebarka­n polisi kerajaan.

“Saya juga membaca artikel Baru Bian bercakap mengenai pelantikan ketua masyarakat dan kaum berdasarka­n Randau Ruai.

“Saya tidak tahu itu adat apa, tetapi untuk adil kepada rakyat atau penduduk rumah panjang, kita semua perlu menghormat­i keputusan mereka.

“Sebab itu apabila saya menjadi ADUN Marudi, perkara pertama yang saya buat ialah memberikan mandat kepada rakyat atau penduduk rumah panjang sendiri untuk melantik ketua mereka,” katanya.

Jelas Penguang lagi pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum bukan atas dasar kemahuan penduduk sendiri hanya akan memecahbel­ahkan rakyat.

Pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum mungkin tidak dipersetuj­ui oleh semua pihak tetapi Penguang percaya ia adalah kaedah yang terbaik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia