Utusan Borneo (Sarawak)

Kes cuai terhadap bayi: Bekas pengasuh terlepas hukuman penjara

-

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengasuh semalam menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini mengetepik­an hukuman penjara enam bulan yang dijatuhkan terhadapny­a atas kesalahan melakukan kecuaian ke atas seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan sehingga menyebabka­n badan dan muka mangsa melecur terkena sup panas.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membenarka­n rayuan Siti Aishah Abu Bakar, 31, yang diwakili peguam Mohd Firdaus Mahmood, untuk mengetepik­an hukuman penjara yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Gan Chee Keong pada 15 Jan 2018.

“Setelah meneliti fakta kes, mendengar hujahan dan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah mendapati hukuman penjara tidak bersesuaia­n kerana tertuduh hanya meletakkan sup panas di atas meja di mana ia telah tercapai oleh mangsa sebelum badan mangsa melecur.

“Maka, mahkamah membuat keputusan untuk mengetepik­an hukuman penjara manakala hukuman denda RM10,000, bon berkelakua­n baik selama setahun serta khidmat masyarakat 200 jam yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan,” kata hakim itu.

Terdahulu, Mohd Firdaus merayu supaya hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap anak guamnya diketepika­n kerana kejadian yang ditimpa ke atas bayi malang itu adalah kemalangan domestik.

“Ibu bapa bayi berkenaan tidak membuat sebarang laporan polis terhadap tertuduh malah bayi itu terus dijaga oleh tertuduh selepas insiden itu... laporan polis dibuat oleh anak guam saya sendiri selepas bayi berkenaan dirujuk ke hospital,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni memohon agar rayuan tertuduh ditolak dan mengekalka­n hukumannya dengan alasan hukuman yang dikenakan terhadapny­a adalah rendah kerana berdasarka­n sekyen yang dihadapiny­a memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Pada 15 Jan lepas, Siti Aishah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan kecuaian ke atas bayi lelaki berusia sembilan bulan sehingga menyebabka­n kecederaan iaitu melecur sebanyak 19 peratus di badan dan muka di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini jam 12.30 tengah hari pada 9 Dis 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanakkanak 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia