Utusan Borneo (Sarawak)

Dua remaja buat aksi ‘willy’ antara 79 saman polis

-

KUANTAN: Aksi dua remaja melakukan aksi ‘willy’ semasa menunggang motosikal membawa padah apabila mereka ditahan polis ketika operasi di sekitar Tanjung Lumpur di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata, suspek lelaki yang berusia 16 dan 18 tahun yang berasal dari Beserah di sini, dipercayai melakukan aksi berkenaan sejauh 100 meter sebelum ditahan.

“Bagi kesalahan itu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayak­an kepada diri sendiri dan lalu lintas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Noor menambah, di bawah seksyen itu suspek boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda mandatori minimun RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, sebanyak 119 saman dikeluarka­n dalam operasi yang diadakan selama tujuh jam bermula jam 4 petang, yang diketuai Pegawai Turus Penguatkua­saan Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Pahang ASP Ahmad Adnan Mohamad.

“Sebanyak 79 penunggang motosikal berusia antara 13 hingga 29 tahun disaman dalam operasi ini, dengan kesalahan paling banyak melibatkan kesalahan berkaitan nombor pendaftara­n iaitu sebanyak 37 saman.

“Ini diikuti lesen memandu (24 saman), lesen kenderaan motor (12 saman) dan kesalahan eksos (18 saman) dan kesalahan lain berkaitan cermin sisi, penutup rantai serta dua saman menunggang motosikal di bawah umur yang dibenarkan,” katanya.

Mohd Noor menambah, pihaknya juga menyita 31 buah motosikal ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atas pelbagai kesalahan termasuk mengubahsu­ai kenderaan tanpa kebenaran. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia