Utusan Borneo (Sarawak)

MBPP kesal kontraktor, perunding tidak maklum ada aliran air sungai

-

GEORGE TOWN: Kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong di sini boleh dielak sekiranya pihak kontraktor dan perunding projek itu memaklumka­n mengenai kewujudan aliran air sungai ke kawasan cerun itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang berkata pihaknya kesal dengan tindakan kontraktor dan perunding projek yang tidak memaklumka­n mengenai perkara itu sehingga menyebabka­n berlaku kemalangan jiwa di tapak binaan itu.

“Saya pergi sendiri ke tempat cerun berkenaan dan mendapati ada satu anak sungai di kawasan cerun yang dipercayai punca utama kejadian tanah runtuh itu.

“T a p i a p a y a n g mengecewak­an saya pihak kontraktor tidak memaklumka­n mengenai perkara ini. Sepatutnya kejadian seperti ini boleh dielak jika mereka memaklumka­n lebih awal dan mengambil tindakan segera dengan mengalihka­n aliran air sungai itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini semalam.

Kelmarin, pemeriksaa­n dan pemantauan awal yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati terdapat aliran air dari anak sungai di kawasan cerun di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini yang dikenal pasti antara punca kejadian tanah runtuh di kawasan itu pada Jumaat.

Sehubungan itu, MBPP mahu pihak kontraktor dan perunding memberikan surat tunjuk sebab berikutan kegagalan mereka memaklumka­n kewujudan aliran air dari anak sungai yang terdapat di kawasan cerun itu.

“Selain surat tunjuk sebab itu, kami mahukan penjelasan daripada pihak terbabit dalam masa segera dan dari situ MBPP boleh melihat sama ada mereka mengikut SOP (prosedur operasi standard) atau sebaliknya,” kata Yew.

Bagaimanap­un, MBPP tidak mahu terus menuding jari kepada pihak kontraktor dan perunding berhubung perkara itu sebaliknya mahu menunggu laporan penuh daripada mereka terlebih dahulu.

Yew berkata projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus bernilai RM545 juta yang dilaksanak­an oleh tiga pihak iaitu MBPP, PLB Land Sdn Bhd dan Geo Valley Sdn Bhd itu akan tetap diteruskan dan berharap dapat disiapkan mengikut jadual. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia