Utusan Borneo (Sarawak)

Abang cam mayat adik melalui kecacatan kaki

-

GEORGE TOWN: “Saya pasti mayat itu adik saya... tengok saja jari kaki kiri mayat itu bengkok (cacat), saya tahu itu adalah adik saya,” kata Mohammad Khaliluddi­n selepas membuat pengecaman mangsa tanah runtuh di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini semalam.

Mohammad Khaliluddi­n, 38, yang baharu tiba dari Kuala Lumpur berkata beliau mendapat gambar mayat mangsa ketujuh yang ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus itu melalui kiriman WhatsApp rakan adiknya dari tempat kejadian.

Kelmarin, mayat Mohamad Abd Jalil, 31, ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepala tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.

Badan serta kepalanya ditemui pada jam 4.50 petang kelmarin di sempadan sektor 2 dan 3 manakala tangan kiri dan kaki kanan belum dijumpai.

Mohammad Khaliluddi­n berkata sebaik mendapat kiriman gambar itu, beliau menghantar­nya kepada ibu mereka di Bangladesh.

“Ibu beritahu dan sahkan itu mayat adik saya Mohamad Abdul Jalil,” katanya.

Mohammad Khaliluddi­n yang tinggal di Puchong, Selangor berkata beliau telah lama tidak berjumpa dengan adiknya dan kali terakhir mereka berhubung melalui telefon ialah dua minggu lepas.

“Adik saya sudah lama tinggal di Pulau Pinang, sudah tujuh tahun...dia ada isteri dan dua orang anak di Bangladesh,” katanya yang berasal dari Satkhira, Bangladesh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia