Ahli Parlimen AS persoal penjelasan Arab Saudi
WASHINGTON: Ahli Parlimen Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menyuarakan keraguan terhadap penjelasan Arab Saudi berkaitan kematian wartawan Jamal Khashoggi, dan mahu Washington mengambil langkah sewajarnya.
Penulis ruang Washington Post itu dilaporkan hilang sejak kali terkahir dilihat di konsulat Arab Saudi, Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Menurut agensi berita Xinhua, pihak berkuasa Arab Saudi berkata pada Sabtu, Khashoggi dilaporkan meninggal dunia dalam satu “pergaduhan” di konsulat.
Dalam wawancara dengan Fox pada Ahad, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata sehingga kini mayat Khashogi belum ditemui dan menyifatkan pembunuhan itu satu “kesilapan besar”.
Penjelasan itu menerima kritikan dari kongres dan senator AS.
Senator Republikan Rand Paul berkata, beliau tidak percaya dengan apa dikatakan Arab Saudi.
“Saya fikir kita perlu menghentikan menjual senjata kepada Arab Saudi dan berbincang lanjut sama ada perlu menjadi sekutu atau musuh,” kata Paul kepada Fox News.
Bagaimanapun, pendirian Kongres mungkin bertentangan dengan kenyataan Rumah Putih.
Pada Jumaat, Presiden Donald Trump berkata akan bekerjasama dengan Kongres mengenai langkah yang akan diambil, tanpa menjejaskan syarikat dan pekerjaan dengan mengurangkan berbilion dolar penjualan senjata ke negara arab itu.
Selepas mendedahkan hasil siasatan awal, Pihak Pendakwaan Awam Arab Saudi mengumumkan 18 orang ditangkap berkaitan pembunuhan tersebut. — Bernama