Utusan Borneo (Sarawak)

Bayaran RM10.02 bilion wang pendahulua­n ECRL boleh ditebus balik

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka dapat menebus balik bayaran pendahulua­n RM10.02 bilion yang dibayar kepada China Communicat­ions Constructi­on Ltd (CCCC) sekiranya projek infrastruk­tur Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibatalkan, persidanga­n Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata setakat 15 Feb lalu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek telah membayar lebih RM19.6 bilion kepada CCCC yang merupakan kontraktor utama projek itu.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi bayaran pendahulua­n RM10.02 bilion dan pembayaran kemajuan RM9.67 bilion.

“Perlu ditarik perhatian di sini bahawa bon pendahulua­n boleh ditebus oleh MRL sekiranya projek ditamatkan.

“Dalam erti kata lain jika berlaku senario terburuk, kerajaan boleh dapat balik RM10.02 bilion,” katanya menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) pada sesi soal jawab.

Lim juga memberitah­u De- wan Rakyat bahawa keputusan sama ada projek ECRL itu akan ditamat atau diteruskan belum dimuktamad­kan memandangk­an rundingan antara pihak terlibat masih berjalan.

Menurutnya, kerajaan Selangor membantah projek itu kerana cadangan landasan dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaska­n peluang untuk mendapatka­n status tapak warisan UNESCO ( Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi Klang Gate Quartz Rigde sepanjang 16 km, yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

Katanya, semua kerja berkaitan projek ECRL telah digantung sejak 3 Julai lalu sehingga satu keputusan baharu dibuat.

Beliau berkata setakat ini empat sesi rundingan telah diadakan antara kerajaan Malaysia dan pihak China mengenai hala tuju ECRL manakala MRL dan CCCC juga telah mengadakan beberapa sesi teknikal untuk melihat mengurangk­an kos projek itu yang dianggar mencecah RM80.92 bilion.

“Kerajaan masih belum buat keputusan. Saya harap YB (Yang Berhormat) boleh faham, kos yang dibiayai adalah tinggi. Selain RM80.92 bilion itu, pihak kerajaan masih belum ambil kira lagi kos faedah yang perlu dibayar untuk membiayai projek ini selain kos pengurusan yang boleh mencecah RM1 bilion setiap tahun,” kata Lim. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia