Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat jelata gembira Sultan Kedah selamat ditabal

-

ALOR SETAR: Rakyat jelata di negeri ini menzahirka­n perasaan gembira setelah Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 semalam.

Orang ramai memanfaatk­an cuti peristiwa sempena hari pertabalan dengan tidak melepaskan peluang untuk menunggu di hadapan Istana Anak Bukit seawal jam 7 pagi bagi menyaksika­n keberangka­tan masuk Sultan dan Sultanah Kedah menaiki kenderaan rasmi pada kira-kira 10.30 pagi semalam.

Abu Hassan Ibrahim, 54, dan isterinya Bashirah Abu Bakar, 53, yang datang dari Kota Kuala Muda, sanggup datang seawal jam 8 pagi di hadapan Istana Anak Bukit bagi menunggu kehadiran baginda berdua bersama-sama lebih 100 rakyat yang lain.

“Umur makcik dah 53 tahun, makcik belum pernah tengok lagi istiadat macam ini, inilah kali pertama, mungkin tak sempatlah nak tengok yang akan datang,” kata Bashirah.

“Seronok sangat, teruja boleh tengok Tuanku, walaupun tak boleh masuk dalam tapi kami gembira, kita minta umur Sultan bagi panjang macam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” kata Abu Hassan pula.

Sultan Sallehuddi­n semalam selamat ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsun­g di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini dan kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsun­g dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-28.

Sementara itu, Chong June Kitt, 22, dari Polimas Jitra berkata beliau gembira apabila Sultan Sallehuddi­n selamat ditabal hari ini dan mengharapk­an Tuanku Sultan Kedah akan dikurniaka­n kesihatan yang baik untuk memerintah negeri ini.

“Hari ini saya datang mahu ambil gambar di hadapan istana...saya tak pernah tengok lagi wajah Sultan dan Sultanah lebih dekat,” katanya yang datang bersama rakannya, Oon Wei Yee, 24 tahun.

Bagi Norazizah Mat Desa, 25, beliau dan keluargany­a mula tiba seawal jam 7 pagi kerana menyangkak­an istiadat perarakan berlangsun­g semalam.

“Kami ingatkan perarakan hari ini ( semalam)… jadi kami pun datang… tapi tak apa kami dapat juga tengok wajah baginda berdua... kami doakan Tuanku Sultan dan Sultanah panjang umur, dapat memerintah Kedah dengan baik,” katanya.

Setelah keberangka­tan masuk baginda, orang ramai mula bergerak ke hadapan pintu masuk utama istana bagi mengabadik­an kenangan sempena tarikh pertabalan Sultan Kedah ke-29 semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia