Utusan Borneo (Sarawak)

PNK Sandakan bantah Ko-Nelayan ambil alih operasi jeti nelayan

-

SANDAKAN: Persatuan Nelayan Kawasan ( PNK) Sandakan membantah tindakan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) mengambil alih operasi dua jeti nelayan yang dikendalik­an oleh persatuan itu di daerah ini.

Pengerusin­ya Mohd Shaiful Bahari Muin berkata keputusan dibuat oleh Ko-Nelayan tanpa mengadakan perbincang­an dengan pihaknya dan turut menjejaska­n sumber pendapatan persatuan itu.

Katanya dakwaan Ko-Nelayan bahawa dua jeti ini iaitu Jeti Harmoni Tenang Bandar Ramai-Ramai dan Jeti Sabah Sea Produce Sdn Bhd tidak beroperasi tidak benar.

“Kedua-dua jeti nelayan ini masih beroperasi cuma tidak dapat menyalurka­n minyak petrol dan diesel bersubsidi kepada nelayan disebabkan kegagalan Ko-Nelayan sebagai pemborong.

“Ia berlaku selepas KoNelayan tidak menguruska­n pembayaran pengangkut­an kepada syarikat minyak yang dilantik menyebabka­n syarikat itu tidak menghantar bekalan minyak petrol dan diesel di dua jeti itu,” katanya ketika ditemui selepas demontasi aman anggota PNK Sandakan pada Majlis Penyerahan Elaun Sara Hidup Secara Tunai di sini, semalam.

PNK-JETI 2 (AKHIR) Demontrasi membabitka­n 1,000 ahli PNK Sandakan itu menggesa kerajaan mengekalka­n pemberian elaun sara hidup dan insentif kepada nelayan serta tidak bersetuju keputusan Ko-Nelayan mengambil alih dua jeti nelayan di daerah ini.

Pada Khamis lepas, Pengerusi Ko-Nelayan Awang Ahmad Shah Sahari dipetik berkata koperasi itu akan mengambil alih dan membuka semula sembilan jeti PNK yang telah ditutup lebih setahun di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Mohd Shaiful yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) berkata Ko-Nelayan tidak harus membuat kenyataan itu terburu-buru dan perlu memahami peranan PNK sebagai peruncit mengendali­kan penjualan minyak petrol dan diesel kepada nelayan.

Katanya Ko-Nelayan sepatutnya mengadakan perbincang­an dengan PNK terlibat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan itu.

“Bagi PNK Sandakan, pengambila­n operasi dua jeti itu menutup sumber pendapatan persatuan itu yang ditubuhkan untuk membela nasib ahlinya berjumlah 1,200 nelayan,” katanya.

Pengerusi PNK Beluran Jaini Ating dan Pengerusi PNK Libaran Abdul Said Pimping yang turut hadir pada majlis itu turut menyatakan pendirian persatuan mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan Ko-Nelayan mengambil alih jeti nelayan dikendalik­an PNK di negeri ini.

Dalam pada itu, seramai 1,060 nelayan yang juga anggota PNK Sandakan menerima elaun sara hidup secara tunai pada majlis itu yang disampaika­n oleh Timbalan Pengarah LKIM Sabah Sundra Linggam Nagaiah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia