Utusan Borneo (Sarawak)

Polis sambut baik rancangan Hishammudd­in bantu bawa pulang Jho Low

-

KUALA LUMPUR: Polis mengalu-alukan rancangan Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein membantu membawa pulang ahli perniagaan kontrovers­i Low Taek Jho atau Jho Low, yang dilaporkan berada di China, bagi menyelesai­kan skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, usaha yang ingin dilakukan bekas menteri pertahanan itu adalah berdasarka­n rangkaian hubunganny­a dengan pemimpin negara luar.

“Saya tidak pasti motif (Hishammudd­in) tetapi (usaha kesan Jho Low) adalah berdasarka­n ‘contact’ yang beliau ada... sekiranya boleh bantu, kita (polis) alu-alukan,” katanya sambil menambah tiada keperluan untuk memanggil Hishammudd­in.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tawaran Hishammudd­in itu, pada perhimpuna­n bulanan peringkat Bukit Aman, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata usaha mengesan Jho Low serta bapanya, Tan Sri Low Hock Peng dilakukan berterusan oleh polis, termasuk berhubung dengan polis antarabang­sa (Interpol).

“Kita (polis) telah ambil langkah yang perlu termasuk berhubung dengan pihak berkuasa negara di mana Jho Low disyaki berada.

“Kita masih menunggu maklumat bagi membawa balik Jho Low ke negara ini,” katanya.

Pada Isnin, Hishammudd­in berkata beliau bersedia menawarkan dirinya untuk mencari Jho Low di China dengan menggunaka­n hubungan terdahulun­ya dengan pemimpin China bagi menyelesai­kan skandal 1MDB.

Dalam perkembang­an lain, Mohamad Fuzi berkata polis masih menjalanka­n siasatan berhubung rampasan barangan kemas yang mempunyai kaitan dengan kes dana 1MDB.

“Polis sedang kumpul maklumat daripada semua pihak, ada yang cakap mereka ada hak atas barang (kemas) itu.

“Jika mereka kata begitu, mereka kena buktikan dan jika mereka tidak dapat buktikan polis akan jalankan siasatan mengikut keperluan termasuk kepada pihak yang membuat tuntutan,” katanya.

Terdahulu, pada perhimpuna­n itu, seramai 49 pegawai dan anggota polis menerima Pingat Jasa Pahlawan sebagai menghargai semangat kepahlawan­an, pengorbana­n dan kebaktian kepada negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia