Utusan Borneo (Sarawak)

Sasaran ke final Piala AFF boleh dicapai: Aidil

-

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap sasaran sekurang-kurangnya mara ke final Piala AFF 2018 yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM) bukan sesuatu mustahil dicapai.

Pemain berasal dari Negeri Sembilan berusia 31 tahun itu, berkata dengan adanya gabungan pemain senior dan muda yang dipanggil ketua jurulatih Tan Cheng Hoe untuk kem latihan kali in, mereka mampu membentuk pasukan mantap untuk melangkah jauh pada saingan tersebut.

“Bagi saya tidak mustahil kita boleh pergi ke final...saya tidak anggapnya sebagai tekanan kerana main di mana-mana pun ada tekanan. Saya rasa kita tidak boleh pergi jauh kalau tiada tekanan, kerana semua orang akan bermain sambil lewa jika tiada tekanan.

“Di tambah lagi dengan format baharu kejohanan, kita akan bermain dua perlawanan peringkat kumpulan di laman sendiri dan dua di tempat lawan. Sedikit sebanyak ia memberi kelebihan berbanding format sebelum ini, kita perlu bermain semua perlawanan di satu gelanggang,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Aidil yang bakal membuat penampilan ketiga pada Piala AFF, mahu memberikan 100 peratus selain menggunaka­n pengalaman dimilikiny­a untuk mencapai keputusan baik kerana ia mungkin Piala AFF terakhir buatnya berikutan faktor usia.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka tirai saingan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 Nov; diikuti aksi menentang Laos di Stadium Nasional (12 Nov); Vietnam di Hanoi (16 Nov) sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Myanmar di Stadium Nasional (24 Nov).

“Bagi saya, Vietnam pencabar utama. Pertama kerana kita akan beraksi di tempat mereka dan kedua, mereka mempunyai pemain-pemain bagus yang beraksi ketika pasukan itu muncul naib juara Kejohanan Bawah 23 AFC. Selepas Thailand, Vietnam mampu beri saingan utama kepada kita,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia