Utusan Borneo (Sarawak)

Pertuduhan terhadap Hasanah tiada kaitan 1MDB: Peguam

-

KUALA LUMPUR: Pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia ( MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid tiada kaitan langsung dengan skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah, 61, menegaskan pertuduhan terhadap anak guamnya itu juga tidak mempunyai kaitan dengan hutang 1MDB atau mana- mana anak syarikat pelaburan tersebut.

“Apa yang jelas dalam kes Datuk Hasanah ini, tidak langsung terlibat dalam mana-mana skandal 1MDB. Jadi ramai orang mungkin keliru.

“Jumlah AS$12 juta yang disebut dalam pertuduhan juga menjadi tanda soal sama ada wang itu wang kerajaan Malaysia atau wang yang datang dari pihak luar negara termasuk perisikan dari negara luar,” katanya kepada pemberita selepas prosiding pendakwaan anak guamnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Malah, Shaharudin berkata penggunaan wang tersebut juga adalah rahsia dan bukan satu perkara yang boleh sewenang-wenangnya didedahkan dalam mahkamah terbuka.

“Jadi kita kena jaga operasi yang sulit oleh agensi perisikan negara, kerana ia bukan satu hal yang boleh dimainkan dan dijadikan bola sepak dalam mahkamah ini,” katanya.

Terdahulu, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta milik kerajaan Malaysia, pada April lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia