Utusan Borneo (Sarawak)

Dortmund sentak Atletico 4-0, Sancho jaring gol sulung

-

DORTMUND, Jerman: Borussia Dortmund menyentak Atletico Madrid dengan kemenangan 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Rabu lepas, sekali gus menghampir­i kelayakan ke pusingan kedua di mana pemain remaja dari England, Jadon Sancho menjaringk­an gol sulung beliau pada pertanding­an ini.

Ia adalah kekalahan terburuk yang dialami jurulatih Diego Simeone sejak tujuh tahun sebagai jurulatih Atletico dan meletakkan Dortmund di tangga teratas Kumpulan A selepas kedua-dua pasukan sebelum ini menewaskan Club Brugge dan Monaco.

“Anda tidak pernah membayangk­annya. Pujian tinggi kepada pasukan kerana ia bukan setiap hari di mana anda menjaringk­an empat gol menentang Atletico,” kata kapten Dortmund, Marco Reus.

Beliau memberikan pujian khas kepada pemain pertahanan remaja, Achraf Hakimi, yang dipinjam dari Real Madrid selepas mengumpan dua gol dalam aksi memberangs­angkan.

“Achraf sememangny­a sangat penting bagi kami di bahagian sayap, beliau pantas dan sesekali berlari masuk ke kotak penalti,” tambah Reus.

Axel Witsel membuka jaringan buat Dortmund pada perlawanan di Signal Iduna Park apabila rembatanny­a terkena sedikit pemain lawan sebelum Raphael Guerreiro, yang menjaringk­an dua gol dalam separuh masa kedua dan Sancho, 18, dimasukkan dari bangku simpanan untuk menjaringk­an satu lagi gol.

Akhbar sukan harian Sepanyol, Marca, dengan pantas mengelar kekalahan itu sebagai “Malapetaka di Dortmund” untuk edisi atas talian.

“Kami tidak dapat menyalahka­n ia kerana tuah buruk atau apa saja,” kata kapten Atletico, Diego Godin.

“Kami memulakan separuh masa kedua dengan baik tetapi dalam bola sepak, anda perlu menyempurn­akan peluang.”

“Tempat teratas kelihatan sukar sekarang dengan perbezaan gol mereka tetapi kami perlu cuba menewaskan mereka di tempat sendiri nanti,” tambah beliau, dengan perlawanan timbal balik di Madrid dalam tempoh dua minggu lagi.

Dortmund beraksi tanpa penyerang sensasi, Paco Alcacer, penjaring tujuh gol dari empat perlawanan liga kerana kecederaan kaki sementara penyerang veteran Atletico, Diego Costa, kembali berganding­an dengan Antoine Griezmann di jentera serangan.

Ia adalah perlawanan sengit di awal permainan melibatkan dua pasukan yang suka menyerang dengan kedua-dua pertahanan juga tidak memberikan banyak ruang.

Selepas 35 minit berlalu, Dortmund kehilangan pemain tengah, Thomas Delaney kerana kecederaan kaki dan tempatnya diganti Mahmoud Dahoud, yang mempunyai penglibata­n dalam gol pembukaan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia