Utusan Borneo (Sarawak)

Proses bidaan kapal mewah Equanimity bermula Isnin

-

KUALA LUMPUR: Proses bidaan bagi kapal mewah Equanimity milik Low Taek Jho ataupun lebih dikenali sebagai Jho Low akan bermula Isnin ini sehingga 28 Nov, kata Ong Chee Kwan, peguam bagi 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Ong berkata Mahkamah Admiralti juga telah meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan yang akan berlangsun­g selama sebulan, mereka yang berminat untuk membeli kapal mewah Equanimity itu perlu bayar deposit sebanyak USD1 juta (RM4.17 juta).

“Ini bukan bidaan dalam talian, tidak semua individu boleh disertakan dalam senarai pembida, hanya mereka yang berkelayak­an sahaja dan mereka perlu bayar deposit sebanyak USD1 juta, ini bagi memastikan hanya pembeli yang serius sahaja datang membuat bidaan,” katanya.

Ong yang turut mewakili dua anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes itu dalam kamar Pesuruhjay­a Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris di sini, semalam.

Ong berkata bagi pembida yang berkelayak­an mereka berpeluang melihat keadaan kapal mewah yang berharga USD250 juta (RM1.42 bilion) itu dan satu tarikh akan ditetapkan bagi tujuan itu.

“Mereka akan mendapat borang tawaran, me- nandakan mereka menerima syarat-syarat penjualan, ia akan dimasukkan ke dalam sampul dan akan dihantar kepada pegawai Mahkamah Admiraliti yang akan membukanya selepas bidaan,” katanya.

Beliau berkata laporan penilaian itu adalah sulit dan hanya sheriff sahaja yang tahu dan akan menetapkan satu tarikh bagi membuat cabutan bidaan.

Ong berkata maklumat lengkap berkenaan bidaan kapal mewah itu juga akan disiarkan dalam akhbar tempatan dan antarabang­sa sama ada semalam atau hari ini, individu yang berminat boleh menghubung­i ejen pusat.

Beliau berkata, bagi pembida yang berjaya dipilih oleh sheriff mahkamah, dikehendak­i membayar 10 peratus daripada harga keseluruha­n kapal dan baki 90 peratus dalam tempoh 10 hari kemudian.

Pada 19 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi mengisytih­arkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.

Mahkamah juga memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan benefisiar­i kapal berkenaan, sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah benefisiar­i kedua-dua syarikat itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia