Utusan Borneo (Sarawak)

Polis India serbu pejabat Amnesty didakwa ‘langgar peraturan bagi pembiayaan asing’

-

NEW DELHI: Amnesty Internatio­nal semalam menuduh kerajaan India cuba “memupuk ketakutan” di kalangan kumpulan hak asasi manusia selepas polis menyerbu salah sebuah pejabatnya berhubung dakwaan tentang pelanggara­n peraturan bagi pembiayaan asing.

Penyiasat Direktorat Penguatkua­saan memeriksa pejabat Amnesty di kota selatan Bangalore selama beberapa jam kelmarin.

Tindakan yang sama telah diambil terhadap kumpulan pendesak alam sekitar Greenpeace.

Direktorat berkenaan, yang menyiasat jenayah kewangan, berkata badan pemantau hak asasi manusia antarabang­sa itu disyaki menyalurka­n 360 juta rupee (RM19.2 juta) ke dalam negara itu yang melanggar peraturan pembiayaan.

Seorang pegawai direktorat mengesahka­n serbuan itu dan berkata Amnesty melanggar peraturan dengan “mengapungk­an entiti komersil” untuk membawa masuk wang dari seberang laut.

Bagaimanap­un Amnesty menegaskan ia “patuh” kepada peraturan kerajaan dalam satu kenyataan Twitter dan menyelar apa yang ia sebut sebagai “corak meresahkan” dalam tindakan pihak berkuasa.

“Ia adalah jelas bahawa kerajaan mahu memupuk ketakutan di kalangan organisasi masyarakat madani,” kata Amnesty, yang mempunyai ibu pejabat di London.

Jurucakap Amnesty India Smriti Singh memberitah­u AFP, kumpulan itu tidak tahu mengenai sebarang bahan yang dirampas tetapi ia sedang menilai kejadian.

Amnesty merupakan pengkritik lantang cara kerajaan India yang berhaluan kanan melayan masyarakat minoriti selain kesalahan dalam zon konflik seperti Kashmir dan dalam kempen menentang puak militan Maoist di tengah India.

Pada 11 Oktober lepas, agensi yang sama menyerbu pejabat Greenpeace India di Bangalore. Pihak berkuasa membekukan akaun bank Greenpeace pada 2015.

Kerajaan nasionalis pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi melancarka­n operasi ke atas kumpulan bukan kerajaan asing sejurus selepas ia memegang kuasa pada 2014.

Ia menggantun­g atau melarang hampir 10,000 kumpulan bukan mencari keuntungan, kebanyakan­nya bekerja dalam kesihatan dan alam sekitar, daripada menerima pembiayaan asing dan menuduh beberapa kumpulan menggunaka­n dana untuk “aktiviti antinasion­al”.

Laporan perisikan kerajaan pada 2014 dikatakan menyebut kumpulan tersebut bekerja dengan kuasa asing untuk melemahkan pertumbuha­n ekonomi India.

Modi pernah mengkritik organisasi bantuan yang disokong oleh orang asing, dan memanggil mereka “aktivis lima bintang”. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia