Utusan Borneo (Sarawak)

‘Pasangan sejantina’ berjaya menetaskan anak penguin

-

SYDNEY: Dua burung penguin jantan yang menjadi “pasangan sejantina” telah berjaya mengeram seekor anak penguin dan “amat memanjakan” anak mereka yang kecil itu, sebuah akuarium di Australia mengumumka­n semalam.

Dua burung penguin ‘gentoo’ Sphen dan Magic dengan gembira “menjaga anak mereka secara bergilir-gilir” selepas ia menetas pada 19 Oktober lalu dengan berat badan 91 gram, kata Tish Hannan dari Sea Life Sydney Aquarium.

Sphen dan Magic menarik perhatian pekerja akuarium apabila mereka sentiasa kelihatan berjalan dan berenang bersama-sama.

Mereka kemudian mula membina sarang batu kerakal, yang mendorong akuarium itu untuk menyediaka­n sebiji telur palsu untuk mereka jaga dan, apabila mereka ternyata dapat menjalanka­n tugas itu, sebiji telur tulen.

Pasangan itu sudah menjalin ikatan, kata Hannan selaku penyelia jabatan penguin Sea Life kepada AFP.

“Mereka mengenali lagu dan panggilan khusus satu sama lain.

“Hanya penguin yang mempunyai ikatan sahaja dapat mencari teman mereka dengan berjaya menggunaka­n panggilan mereka apabila mereka terpisah.”

Ini bukan kali pertama pasangan penguin sejantina mengangkat telur dalam kurungan, kerana beberapa buah zoo di seluruh dunia melaporkan kes sama.

Pada 2009, dua penguin jantan – Z dan Vielpunkt – berjaya menetas dan membesar anak yang ditolak oleh ibu bapanya yang heteroseks­ual di sebuah zoo di Berlin.

Sebelum mereka, muncul Roy dan Silo, dua penguin ‘chinstrap’ jantan di sebuah zoo di New York yang dilihat kerap cuba mengawan dengan satu sama lain. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia