Utusan Borneo (Sarawak)

Harry dan Meghan memakai skirt sedondon di Tonga

-

NUKU’ALOFA: Putera Harry dan isteri baginda Meghan memakai skirt uniseks berwarna merah dan krim yang sedondon semalam ketika mereka menamatkan lawatan selama empat hari ke rantau Pasifik di Tonga dengan meraikan kebudayaan dan kraf tempatan.

Penekanan telah diberikan kepada pilihan fesyen Meghan sewaktu jelajah antarabang­sa pertamanya sejak beliau mengahwini anggota kerabat diraja Britain pada Mei lalu, tetapi Harry bergaya dengan skirt berjumbai yang dipakai di atas sut baginda.

Meghan yang hamil memakai pakaian sama yang tinggi pada bahagian pinggang, dan menutupi perutnya yang besar, ketika pasangan itu melawat sebuah pasar kraf di ibu kota negara pulau itu, Nuku’alofa.

Skirt tradisiona­l itu merupakan simbol status yang dipakai sewaktu acara rasmi oleh lelaki dan wanita di Tonga.

Sambutan mesra yang diterima oleh pasangan diraja itu sewaktu lawatan mereka di Tonga dan Fiji berterusan pada minggu ini, dan penduduk tempatan Iunisi Fotofili bergelut untuk menyuaraka­n perasaanny­a tentang pertemuan dengan Meghan.

“Saya sangat gembira. Teruja. Saya tidak tahu sama ada apabila saya melihat mereka, saya akan menangis atau saya hanya mahu berlari kepadanya dan memeluknya.”

Ribuan manusia keluar beramai-ramai di Fiji dan Tonga untuk mengatasi jumlah yang kelihatan di Australia pada minggu pertama jelajah pasangan itu ke rantau Oceania.

Meghan yang dilahirkan di Amerika Syarikat memakai baju kapas berjalur hijau dan putih oleh pereka dari Australia, Martin Grant, untuk melawat pasar dan berjumpa dengan Perdana Menteri Akilisi Pohiva.

Beliau bertukar kepada baju Veronica Beard berwarna biru yang kasual untuk lawatan ke sebuah projek alam sekitar di Kolej Tupou di Nuku’alofa.

Di satu bankuet yang dihoskan oleh Raja Tupou VI dan Ratu Nanasipau’u pada malam kelmarin, Harry berkata negara pulau itu merupakan “latar belakang yang ajaib”.

“Datang ke Tonga, saya sangat berasakan saya datang untuk melawat keluarga besar,” kata baginda sambil membaca perutusan daripada nenda baginda Ratu Elizabeth II.

“Ia amat menyeronok­kan beta bahawa cucu beta dan isteri beliau sedang melawat negara Tonga,” kata perutusan baginda. “Dua keluarga kita telah menikmati persahabat­an yang mendalam dan mesra selama bertahun-tahun dan saya harap hubungan kita yang erat berterusan dengan generasi seterusnya.”

Selepas hampir 24 jam di Tonga, mereka kembali ke Australia lewat semalam untuk hari-hari terakhir temasya Sukan Invictus, iaitu acara sukan ala Olimpik bagi askar cedera yang turut diasaskan oleh Harry.

Mereka seterusnya akan menamatkan jelajah maraton mereka selama 16 hari di New Zealand. — AFP

 ?? — Gambar Reuters ?? SEDONDON: Harry dan Meghan melawat pameran kraf tangan, tikar dan kain tapa Tonga di Pusat Konvensyen Fa’onelua pada hari kedua lawatan kerabat diraja itu ke Tonga semalam.
— Gambar Reuters SEDONDON: Harry dan Meghan melawat pameran kraf tangan, tikar dan kain tapa Tonga di Pusat Konvensyen Fa’onelua pada hari kedua lawatan kerabat diraja itu ke Tonga semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia