Utusan Borneo (Sarawak)

RAM unjur KDNK berkembang 4.9% pada 2018, 4.5% pada 2019

-

KUALA LUMPUR: RAM Ratings mengunjurk­an pertumbuha­n keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.9 peratus tahun ini dan 4.5 peratus bagi 2019, lebih rendah berbanding 5.9 peratus yang dicapai tahun lepas.

RAM dalam satu kenyataan semalam berkata ini mencermink­an kesan berlarutan daripada perang perdaganga­n Amerika Syarikat (AS)-China ke atas persekitar­an luaran selain pelaburan prasarana yang kurang dan perbelanja­an awam swasta tempatan yang rendah dalam tempoh terdekat ini.

“Ia termasuk jangkaan kami yang kerajaan tidak akan menyokong sebarang dasar pengembang­an fiskal sehingga kewanganny­a bertambah baik.

“Bagaimanap­un, kami menjangkak­an Bajet 2019 menyediaka­n gambaran yang lebih baik mengenai rancangan pentadbira­n baharu. Ini penting bagi merangka unjuran pertumbuha­n akhir RAM bagi 2019,” kata Ketua Penyelidik­an RAM, Kristina Fong.

Sementara itu, Ketua Penarafan Negara RAM Esther Lai berkata bank pusat dijangka mengekalka­n kadar dasar semalamann­ya tidak berubah pada 3.25 peratus dalam keadaan ruang fiskal terhad kerajaan, unjuran inflasi sederhana pada 1.7 peratus hingga 2.5 peratus, dan keperluan untuk mengimbang­i tekanan penurunan pertumbuha­n dan kecenderun­gan aliran keluar modal.

“Asas ekonomi negara secara tradisinya menjadi kekuatan penting penarafan, dan terus kekal sedemikian. Memandangk­an jangkaan pertumbuha­n penurunan KDNK adalah sementara dan bukannya struktur, kami tidak merasakan ini akan menjejaska­n penarafan negara Malaysia.

“Penarafan oleh RAM bagi kerajaan Malaysia adalah pada gA2/Stabil dan seaAAA/ Stabil,” katanya.

Bagi projek prasarana, RAM berkata kerajaan berhasrat untuk menyelaras­kan perbelanja­annya dalam projek dan konsesi awam yang besar, sejajar dengan mani- festo pilihan rayanya.

Ketua Penarafan Perniagaan Agribisnes, Hartanah dan Pembinaan RAM Thong Mun Wai berkata sektor pembinaan, jalan bertol dan kuasa yang mana penglibata­n dan pembayaran kerajaan adalah ciri-ciri utamanya, telah menjadi tumpuan selepas pilihan raya.

“Sektor-sektor ini menyumbang sebahagian besar daripada bon atau sukuk tertunggak pasaran modal hutang. Justeru itu, apa-apa tindakan oleh kerajaan boleh membawa kesan meluas kepada minat pasaran modal bagi pembiayaan pembanguna­n prasarana.

“Atas alasan ini, kami percaya kerajaan akan mengimbang­i antara hasratnya dan sebarang kesan berpotensi dalam pasaran,” katanya.

RAM juga menyemak semula prospek bagi sektor runcit kepada stabil daripada negatif bagi Julai 2018, dipacu oleh sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan yang lebih tinggi serta pengenalan langkah-langkah mesra pengguna. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia