JULANG DI PERSADA DUNIA
Regata Sarawak mampu mempopularkan negeri sebagai destinasi pelancongan istimewa: KM
KUCHING: Regata SarawakFestival Tebingan Kuching yang diadakan setiap tahun diyakini dapat menjulang dan mempopularkan nama Sarawak di persada dunia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang maju, progresif, sejahtera dan unik.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusannya sempena temasya tersebut berkata, pelbagai acara dan aktiviti diadakan bermula 26 Oktober hingga 4 November 2018.
Antaranya, Lumba Bot Naga Antarabangsa, Dapur Sarawak, promosi Kraftangan Malaysia, persembahan kebudayaan, kesenian dan warisan.
“Regata Sarawak adalah antara ikon bagi Sarawak untuk menarik minat lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.
“Kejayaan penganjuran Regata Sarawak tahun ini merupakan manifestasi wujudnya jalinan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan dan juga pelbagai badan korporat,” ujarnya.
Abang Johari semalam turut hadir untuk menyempurnakan upacara menitik mata naga di Tebingan Kuching sebagai simbolik perasmian acara Lumba Bot Naga Antarabangsa sempena Regata Sarawak 2018.
Beliau turut merasmikan promosi Kraftangan Malaysia yang disertai lebih 100 usahawan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Turut dirasmikan semalam ialah Dapur Sarawak yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman sepanjang Regata Sarawak di Tebingan Kuching.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui berkata, Lumba Bot Naga Antarabangsa tahun ini menyaksikan lebih 12 negara menghantar pasukan.
Manakala, pada hujung minggu depan akan berlangsung acara lumba perahu utama Regata Sarawak bagi memburu gelaran Raja Sungai Sarawak.
“Berdasarkan pengalaman tahun lepas, dalam seminggu ini kita menjangkakan mampu mencapai jualan kraf lebih daripada RM1 juta.
“Saya percaya sepanjang dua minggu ini kawasan Tebingan Kuching akan dipenuhi ribuan pengunjung,” kata Abdul Karim.
Dalam pada itu, pengunjung akan turut dihiburkan dengan pertunjukan Air Pancut Berirama dan pentas hiburan pada sebelah malam sepanjang temasya tersebut.