Utusan Borneo (Sarawak)

Penyu albino tarikan pengunjung ‘Road To MAHA 2018’ di terengganu

-

KUALA TERENGGANU: “Comelnya, putih selepuk (sangat putih)...manja pulok tu”. Itu antara reaksi spontan pengunjung yang melihat dua ekor penyu albino yang dipamerkan sempena ‘Road To MAHA 2018’ di Institut Penyelidik­an Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Manir, di sini yang bermula pada Khamis lalu.

Penyu agar betina yang berusia 10 dan 12 tahun itu adalah antara tarikan pengunjung ke pameran itu yang bertujuan mempromosi Ekspo Pertanian Hortikultu­r dan Agropelanc­ongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di MAEPS Serdang dari 22 Nov hingga 22 Dis depan.

Seorang pengunjung, Hayati Rashid, 32, berkata beliau tidak pernah melihat penyu albino dari dekat sehingga ini dalam hidupnya dan menyifatka­n penyu albino itu sebagai aset berharga Terengganu.

“Saya lihat ramai pengunjung yang teruja melihat penyu albino ini dan merakamkan swafoto sebagai kenangan.... saya berharap penyu albino ini akan terus dibawa menjelajah ke lebih banyak pameran pada masa depan agar lebih ramai tahu dan menghargai kewujudann­ya,” katanya kepada Bernama semalam.

Seorang lagi pengunjung, Firdaus Ahmad, 28, berkata beliau teruja melihat penyu albino yang diberi nama ‘Putih’ itu kerana ia jinak dan kelihatan ‘mesra’ dengan orang ramai yang mendekatin­ya.

“Kebiasaann­ya, penyu tidak akan memberi reaksi seperti itu kepada orang asing, namun penyu albino ini kelihatan manja dan sering mengangkat kepalanya kepada pengunjung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidik­an Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Taming Ali Ahmad berkata kedua-dua penyu albino itu dipelihara di FRI Rantau Abang bagi tujuan pemulihara­an dan penyelidik­an.

“Si Putih sangat unik kerana tidak semua anak penyu yang menetas bewarna putih atau mempunyai ciri albino. Si Putih suka dibelai pada bahagian kepala serta tengkuk dan akan merehatkan tangannya ke sisi badan apabila saya memanjakan­nya.

“Namun untuk pameran, pengunjung dilarang menyentuh ‘Si Putih’ tanpa pengawasan kerana bimbang ia akan bertindak ganas sama ada melanggar dinding tangki atau menggigit tangan pengunjung,” katanya.

Mohd Tamimi berkata orang ramai boleh datang ke Galeri Spesies Marin Terancam FRI Rantau Abang di Dungun untuk melihat ‘Si Putih’ dan beberapa spesies penyu yang lain seperti penyu karah dan penyu lipas serta rangka tulang paus, dugong dan lumbalumba. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia