Utusan Borneo (Sarawak)

Kesusahan dorong dua pemuda ke menara gading

-

SERDANG: Kesusahan keluarga dan semangat daripada ibu bapa mendorong seorang pemuda kurang upaya (OKU) menguatkan azam untuk berjaya dalam pelajaran sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Kejurutera­an Perisian.

Suhazli Muhamad, yang menggunaka­n kerusi roda untuk bergerak tekad merubah kekurangan keluarga dan percaya melalui pendidikan adalah aset terbaik dalam merealisas­ikan impian tersebut.

Sikap tidak mudah berputus asa atau menjadikan kekurangan fizikal sebagai halangan, akhirnya membolehka­n pemuda berusia 26 tahun dari Ketereh, Kelantan itu mampu ‘berdiri’ sebaris dengan graduan normal lain.

“Saya datang dari keluarga susah, ibu dan bapa hanya bekerja menjual hasil pertanian yang dikumpul dengan pendapatan tidak seberapa.

“Dalam serba kekurangan, saya jadikan kesusahan itu sebagai dorongan untuk melanjutka­n pelajaran dan memilih universiti ini sebagai medan mengubah kehidupan,” katanya ketika ditemui pada Konvokesye­n Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-42 di sini.

Suhazli, yang juga alumni UPM dalam Ijazah Sains Komputer merupakan antara 6,973 graduan yang menerima Ijazah Kedoktoran (PhD), Sarjana, Ijazah dan Diploma masing-masing pada istiadat yang disempurna­kan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah hari ini.

Anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu turut berkongsi kejayaan dengan pihak universiti yang banyak membantuny­a sepanjang sesi pengajian.

Beliau berkata keprihatin­an Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediaka­n van untuk membawanya ke kelas dari asrama setiap hari amat dihargai selain rakan-rakan yang datang membantuny­a belajar ketika di asrama.

“Sebagai orang kurang upaya, saya sedar penguasaan ilmu di tahap paling tinggi mampu merubah nasib seseorang, dan sebab itu saya tekad untuk terus menyambung pelajaran ke peringkat PhD selepas ini,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi Kelvin Niyok, 21, pula, penglibata­n keluarga dalam bidang pertanian mendorongn­ya untuk mendalami ilmu berkaitan pertanian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Pemuda kaum Penan dari Ulu Baram, Miri, Sarawak yang menamatkan pengajian dalam Diploma Kejurutera­an Pertanian itu berkata rutin harian ‘ bermain’ dengan selut dan lumpur memberi semangat kepadanya untuk menguasai ilmu tersebut sebagai platform mengubah nasib keluarga pada masa depan.

“Atas sebab itu, saya kini meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejurutera­an Pertanian di UPM, satu persediaan untuk menceburi bidang pertanian secara lebih serius selepas ini,” kata anak ketiga daripada empat adik-beradik itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia