Utusan Borneo (Sarawak)

Syarikat feri hadapi masalah berulang perlu tindakan

-

ALOR SETAR: Kementeria­n Pengangkut­an diminta mengambil tindakan untuk tidak membenarka­n manamana syarikat feri terus beroperasi sekiranya feri milik syarikat terbabit mengalami masalah yang berulang, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kejadian feri terkandas boleh berlaku atas dua sebab iaitu apabila keadaan muara sungai yang cetek dan keadaan feri yang tidak diselengga­ra dengan baik sehingga menyebabka­n ia rosak dan terkandas.

“Saya hendak ingatkan mana-mana syarikat feri yang beroperasi untuk memandang serius dalam aspek penyelengg­araan ini kerana kita tidak mahu perkara seperti itu (bot terkandas disebabkan rosak) berulang lagi. Walaupun hanya terkandas, ia masih tidak menepati piawaian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian di mana 25 penumpang feri dan sembilan kru terkandas kira-kira tujuh jam selepas feri yang mereka naiki dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah mengalami kerosakan enjin petang kelmarin.

Dalam kejadian tersebut feri yang bertolak dari Langkawi jam 2.30 petang dan dijadual tiba di Terminal Feri Kuala Kedah di sini kira-kira 4 petang mengalami kerosakan pada enjinnya kira-kira 3.30 petang.

Terdahulu, Mukhriz yang menghadiri AOR Festival di Dataran Balai Besar, di sini berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa ruang niaga untuk dijadikan ‘Youth Town’ iaitu kawasan perniagaan bagi peniaga muda.

“Memang hasrat kerajaan negeri untuk tubuhkan ‘Youth Town’ ini di setiap daerah tetapi buat masa sekarang kita lihat kawasan bandar seperti Alor Setar yang dapat sambutan baik. Kita hendak sediakan kawasan perniagaan kepada golongan muda untuk pasarkan produk mereka sendiri,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia