Utusan Borneo (Sarawak)

Berlaku trend perbezaan ketara jumlah undi cabang dan pusat

-

SUNGAI PETANI: Jawatankua­sa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat ( PKR) mengesan berlaku trend jumlah undi bagi pemilihan kepimpinan di peringkat cabang lebih tinggi berbanding di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak seminggu dua kebelakang­an ini termasuk di Kedah kelmarin.

Setiausaha JPP PKR Ismail Yusop ketika dihubungi Bernama semalam berkata pasukan teknikal sedang mengkaji situasi ini, sebab ia bagaikan berlaku secara konsisten.

“Kemungkina­n pengundi memilih pimpinan di cabang mereka sahaja tetapi untuk MPP hanya undi jawatan penting yang mereka kenal, bukan semua mereka kenal pimpinan atas,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Nor Hizwan Ahmad hari ini yang sejumlah 30 peratus undi anggota parti itu didapati hilang daripada sistem pengundian pada proses pemilihan parti itu di 10 cabang di Kedah kelmarin.

Nor Hizwan dalam kenyataan medianya semalam dipetik sebagai berkata biarpun telah diberikan jaminan bahawa integriti pengundian pada pemilihan kali ini masih utuh namun kegagalan nampak jelas dan sudah tentu merencatka­n proses demokrasi dalam PKR.

Ismail berkata dakwaan sedemikian tidak tepat dan sepatutnya Nor Hizwan membuat semakan dengan JPP terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan sebenar berlaku dan bukannya terus menyalahka­n sistem pemilihan parti berkenaan.

“Kita masih melihat trend (perbezaan ketara pengundian itu), cuma bagi saya statement ini tidak betul. Bagi saya macam sengaja nak menyerang kredibilit­i JPP. Memang kita akui ada masalah, tetapi kita cuba atasi dari semasa ke semasa untuk terus perbaiki (masalah yang ada),” katanya.

Beliau berkata hanya cabang Kuala Kedah bagi pemilihan parti di Kedah kelmarin yang menghadapi masalah apabila pihaknya mengesan terdapat kurang 20 orang yang mengambil barcode masing-masing tetapi tidak mengundi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia