Loftus-Cheek ingin dipilih untuk kesebelasan utama
LONDON: Ruben Loftus-Cheek mengemukakan hujah yang meyakinkan pada minggu ini untuk dipilih bagi barisan kesebelasan utama Chelsea di Burnley pada malam ini (Ahad).
Bagaimanapun realitinya ialah pemain tengah England itu perlu meningkatkan lagi usaha bagi meyakinkan Maurizio Sarri bahawa dia sudah bersedia untuk melanjutkan pembabitannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Hatrik dalam kemenangan Liga Europa ke atas BATE Borisov mengesahkan potensi pemain berusia 22 tahun itu, yang menikmati kejayaan sebagai pemain pinjaman sepanjang musim di sebuah lagi kelab di London, Crystal Palace, pada musim lepas.
Prestasinya pada musim lepas memadai untuk membolehkannya memenangi tempat dalam skuad Piala Dunia bimbingan Gareth Southgate, tetapi pada peringkat kelab, Loftus-Cheek mendapati diri di pinggir pasukan utama Sarri dan yakin ketua jurulatih pasukan ‘The Blues’ itu belum lagi percaya dia bersedia untuk diserapkan ke dalam sistem pengurus dari Itali itu.
Sejak Sarri tiba di Chelsea pada Julai lalu, dia telah menekankan tentang keperluan bagi pemainnya untuk memahami keperluan pertahanan dalam permainannya yang berasaskan penguasaan bola.
Jurulatih itu menegaskan ini akan memakan masa, tetapi dia jelas percaya beberapa anggota skuadnya menyesuaikan diri dengan lebih cepat berbanding pemain lain.
Ketika Southgate mengumumkan skuadnya untuk waktu rehat antarabangsa terakhir, Barkley dimasukkan manakala Loftus- Cheek, pada ketika itu terhad kepada hanya satu sahaja penampilan permulaan pada musim ini, mendapati diri diketepikan, yang mendorong cadangan bahawa dia wajar dinasihatkan untuk bermain sebagai pemain pinjaman di kelab lain pada Januari nanti untuk mengekalkan momentum dalam kariernya yang muda. — AFP