Utusan Borneo (Sarawak)

13 jawatan kader Penolong Pegawai Perubatan diisi menjelang akhir tahun

-

SIK: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarka­n jawatan kader Penolong Pegawai Perubatan Gred U29 di setiap 13 depoh tahanan imigresen di Semenanjun­g dan Sarawak akan dapat diwujudkan dan diisi menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini telah mengemukak­an cadangan itu kepada Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) selepas melawat Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Katanya keperluan untuk mewujudkan 13 jawatan kader itu bagi membolehka­n mereka dapat ditempatka­n di depoh tahanan imigresen selepas waktu pejabat khusus untuk kes-kes kecemasan yang berlaku pada tempoh itu.

“Kita lihat trend kematian di depoh kerana penyakit banyak yang meninggal di luar waktu pejabat...kalau masa pejabat cepat dikesan dan boleh dihantar terus ke hospital, tapi pada malam hari kalau ada pegawai-pegawai ini tentunya ada satu kecepatan untuk rawatan mula atau ‘first attend’ untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Kalau perjawatan itu telah dapat, waran perjawatan itu pun telah ada, ia akan segera diisi sebab pegawai-pegawai ini terlatih di Kementeria­n Kesihatan, mereka bertugas di hospital dan sebagainya, jadi kalau sudah dapat perjawatan itu Kementeria­n Kesihatan sedia untuk menghantar mereka ke JIM, ini tidak ada masalah,” katanya selepas merasmikan Depot Imigresen Belantek dekat sini.

Pada masa ini, terdapat 8,605 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di depoh seluruh negara dengan 334 daripadany­a adalah kanak-kanak.

Dalam perkembang­an lain, Mustafar berkata bagi tahun ini sehingga kelmarin, pihaknya telah mengadakan 12,130 operasi di seluruh negara dan menangkap 38,375 PATI selain telah mengambil tindakan kepada 1,102 majikan yang degil masih menggaji dan melindungi PATI.

“Pada tahun lepas pula sebanyak 48,468 PATI telah ditangkap dan kalau boleh kita nak kurangkan jumlah tangkapan ini dengan cara menangani masalah ini dari peringkat awal lagi,” katanya.

Mustafar menegaskan pihaknya mengamalka­n konsep ‘zero tolerance’ terhadap mana-mana rakyat luar negara yang menyalahgu­nakan pas pelajar, pas lawatan sosial ataupun permit bekerja di negara ini.

“Kita telah berbincang dengan pihak kedutaan supaya pematuhan kepada mereka yang datang ke negara kita dilaksanak­an, sama macam negara kita , kita tidak akan lindungi rakyat kita yang salah guna pasport atau visa kita di luar negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia