Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita curi beg duit dipenjara tiga bulan

-

MIRI: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan mencuri beg duit kepunyaan seorang juruteknik pemasangan pendingin hawa.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapny­a mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarka­n pertuduhan kes, tertuduh, Rohana Ngadong, 40, dari Permyjaya di sini didapati mencuri beg duit kepunyaan Mohd Sahffi Mohd Nor bernilai RM40.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama suaminya, Chong Kok Hua, 32, pada jam 11.20 pagi, 14 September lalu di hadapan sebuah kedai menjual perkakas elektrik di Jalan Bendahara di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringanka­n memandangk­an dia mempunyai tiga anak yang kini dalam jagaan ibunya.

Semasa sebutan pertama kes pada 21 September lalu, Chong yang mengaku bersalah atas tuduhan itu telah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.

Sementara dalam kes berasingan, Rohana turut dijatuhi hukuman penjara dua bulan setelah mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Gerang Chendang, 48, dengan mengeluark­an perkataan bunuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.30 tengah malam, 16 Mei 2017 di sebuah lot di Blok 10, Lorong 7 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Mahkamah memerintah­kan hukuman penjara ke atas tertuduh bagi kesalahan ini dikuatkuas­akan mulai tarikh dia direman pada 21 September lalu.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia