Utusan Borneo (Sarawak)

Suspek rompak kedai runcit direman tujuh hari

-

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki merompak sebuah kedai runcit diperintah­kan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarka­n Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukaka­n pegawai penyiasat Inspektor Arjunan Sakaran dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonan­nya Arjuna memberitah­u, awal pagi 27 Oktober lalu seorang peniaga telah membuat laporan di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu, 49, mendakwa sekitar jam 11.55 malam, 26 Oktober lalu, ketika hendak menutup kedainya di Desa Indah, Permyjaya, tiba-tiba seorang lelaki memakai penutup muka dan bersenjata­kan sebilah parang masuk ke dalam premisnya.

Lelaki itu telah mengacukan parang ke arah pengadu sambil mengarahka­n dia menyerahka­n wang.

Pengadu yang ketakukan kemudian menyuruh anak lelakinya menyerahka­n wang yang ada di kaunter.

Selepas itu, lelaki terbabit terus menggeleda­h barang di dalam kedai namun cuba dihalang anak pengadu dan berlaku pergelutan hingga menyebabka­n anak pengadu cedera di bahagian tangan kiri, kaki dan telinga kanan akibat terkena parang yang dilibas perompak terbabit.

Pengadu turut mengalami kecederaan ketika cuba membantu anaknya dalam pergelutan itu.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.08 pagi, 27 Oktober lalu, polis yang bergegas ke tempat kejadian berjaya memberkas seorang lelaki yang terbaring dalam keadaan cedera setelah diserahkan oleh orang awam.

Dalam permohonan lanjutnya Arjuna berkata, reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 40 tahun dari Taman Li Hua, Jalan Tun Hussein, Bintulu amat diperlukan untuk membolehka­n polis melengkapk­an kertas siasatan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan suspek yang masih dirawat di wad Hospital Miri serta beberapa orang saksi kejadian, justeru pembebasan awal akan menjejaska­n siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarka­n reman tujuh hari ke atas suspek sehingga 3 November depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia