Utusan Borneo (Sarawak)

Hatrik Suarez dilihat bakal tamatkan karier Lopetegui bersama Real Madrid

-

BARCELONA, Sepanyol: Barcelona ‘mengamuk’ pada perlawanan El Clasico ketika Luis Suarez menjaringk­an hatrik untuk apa yang pasti menamatkan kerjaya Julen Lopetegui sebagai jurulatih Real Madrid.

Barcelona menang 5- 1 dengan permainan hebat di Nou Camp dengan semuanya berakhir pada 15 minit selepas rehat apabila impian Real untuk bangkit hanya seketika.

Semua kegagalan menjadi kesimpulan jelas dari masalah di alami di bawah bimbingan Lopetegui, penyudah hambar, pertahanan rapuh dan beberapa pemain utama tidak beraksi di tahap terbaik.

Ada juga nasib yang malang ketika rembatan Luka Modric terkena palang selepas rehat merapatkan kedudukan 1-2 dan dengan gol kedua Suarez dari satu tendangan penalti yang diberikan selepas semakan video bantuan pen- gadil (VAR).

Philippe Coutinho membuka jaringan dan Arturo Vidal menamatkan pesta gol di antara hatrik Suarez, yang mengucar-kacir pertahanan Real untuk memastikan ketiadaan Lionel Messi kerana kecederaan tidak begitu dirasai.

“Kami harus berasa bangga mempunyai pemain terbaik di dunia,” kata Suarez. “Tetapi kami harus menunjukka­n kami adalah pasukan yang hebat dan kami mempunyai seorang jurulatih yang hebat juga.”

Bagi Lopetegui, ia sekarang hanya satu kemenangan dari enam perlawanan untuk kekal di tangga kesembilan, tujuh mata di belakang Barcelona yang kembali ke tangga teratas La Liga Sepanyol.

“Apa yang kami tunjukkan hari ini adalah apa yang kami tunjukkan sepanjang musim,” kata Casemiro. “Kami harus berusaha lebih gigih lagi.”

Kekalahan mengimbau kembali kekalahan 0-4 yang menamatkan tugas Rafael Benitez sebagai jurulatih pada 2016. Benitez terselamat lebih dari dua bulan dengan Lopetegui mungkin tidak bertahan untuk seminggu.

Banyak yang diperkatak­an tentang perlawanan El Clasico pertama tanpa Messi atau Cristiano Ronaldo dalam tempoh 11 tahun tetapi kehebatan Suarez bermakna ia akan kekal lama dalam ingatan terutama sekali bagi beliau selepas lima hari yang lalu, beliau menimang cahaya mata yang ketiga. “Ia menjadikan saya sangat gembira,” kata Suarez.

Jordi Alba mengumpan gol pertama apabila melepasi kawalan Gareth Bale dan Nacho sebelum melorong bola kepada Coutinho dalam kotak penalti. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia