Utusan Borneo (Sarawak)

Tempoh pajakan Kinrara Oval tamat dua hari lagi, MCA belum dapat kata putus mengenai status tanah tersebut

-

PUCHONG: Berbaki lagi dua hari lagi sebelum tamat tempoh pajakan Kinrara Oval kepada Persatuan Kriket Malaysia ( MCA) pada Rabu ini, namun badan induk sukan itu masih belum dapat kata putus mengenai status tanah tersebut.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata pihaknya masih mencari tarikh sesuai perjumpaan tiga penjuru antara Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS), MCA dan Pemaju Perumahan Kinrara Berhad (PKB).

“Kami sedang mendapatka­n tarikh untuk perjumpaan semua pihak, MCA, KBS serta pemaju. KBS akan membuat keputusan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesai­kan isu ini.

“Pihak kementeria­n tiada masalah mengenai status quo, perkara ini bukan baharu, saya harap semua bersabar. KBS memberi jaminan kepada semua peminat kriket di negara ini bahawa sukan ini sentiasa akan ada ‘rumah’,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan akhir ‘Women’s Twenty20 Internatio­nal Series’ di antara pasukan Australia dan Pakistan di Kinrara Oval, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaik­an hadiah kepada pasukan Australia yang muncul juara menewaskan Pakistan 3-0.

Mengenai venue kriket baharu, Steve berkata pihaknya menerima pelbagai cadangan dan idea namun setiap keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat tiga penjuru itu.

Menurut laporan media tempatan pada Jumaat lalu, Kinrara Oval perlu dikembalik­an kepada PKB selepas dipajakkan kepada MCA selama 15 tahun tamat iaitu sebaik sahaja tamat tempoh pajakan pada 31 Okt ini.

Berdasarka­n kenyataan PKB itu, syarikat usaha sama antara I& P Group Sdn Bhd, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH), tanah berkenaan telah diperuntuk­kan untuk pembanguna­n.

Sementara menunggu dibangunka­n, tanah itu dipajakkan kepada MCA pada 2004 selama 15 tahun berakhir 31 Okt tahun ini dan MCA telah dimaklumka­n bahawa penggunaan tanah itu adalah bersifat sementara dan mereka akhirnya perlu mencari kediaman tetap sendiri untuk menjalanka­n operasi.

PKB turut menyatakan pihak MCA mempunyai hutang yang belum dilunaskan.

Sementara itu, Presiden MCA, Mahinda Vallipuram berkata pihaknya berharap semua pihak terlibat mengenai tanah tersebut mencari penyelesai­an terbaik mengenai kedudukan Kinrara Oval.

Mengenai hutang yang masih tertunggak dengan PKB, Mahinda enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan akan dibincangk­an pada mesyuarat itu nanti.

“Saya tidak mahu komen ( mengenai jumlah hutang dengan PKB). Tunggu sehingga mesyuarat itu nanti,” jelasnya. — Bernama

Kami sedang mendapatka­n tarikh untuk perjumpaan semua pihak, MCA, KBS serta pemaju. KBS akan membuat keputusan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesai­kan isu ini. Steven Sim Timbalan Menteri Belia dan Sukan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia