Utusan Borneo (Sarawak)

Pelaburan langsung meningkat 17.7% pada separuh pertama 2018

-

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menarik pelaburan langsung baharu dalam sektor perkhidmat­an, pembuatan dan utama pada separuh pertama 2018 (1H18) dengan jumlah kelulusan sebanyak RM80.2 bilion, peningkata­n sebanyak 17.7 peratus berbanding RM68.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataann­ya semalam berkata sektor perkhidmat­an negara terus menyumbang bahagian terbesar pelaburan diluluskan, iaitu RM50.9 bilion atau 63.5 peratus.

Sektor pembuatan kekal berdaya tahan dan mencatatka­n pelaburan RM20.2 bilion daripada 287 projek pembuatan bagi separuh pertama 2018 berbanding RM16.7 bilion daripada 299 projek pembuatan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, sektor utama menyumbang RM9.1 bilion atau 11.3 peratus kepada jumlah projek yang diluluskan pada separuh pertama 2018.

“Pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga Jun (2018) adalah dari 2,346 projek. Ia dijangka menjana 60,181 peluang pekerjaan di Malaysia,” kata MIDA.

Katanya, walaupun berdepan dengan persaingan yang semakin meningkat dan persekitar­an luaran yang mencabar, Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing.

Pelaburan asing meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM26.5 bilion pada 1H18 daripada RM19.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, khususnya dalam sektor pembuatan dan utama.

Sementara itu, pelaburan domestik menyumbang RM53.7 bilion atau 67 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ketiga- tiga sektor tersebut.

Prestasi pelaburan domestik juga menyaksika­n kenaikan 10.5 peratus daripada RM48.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata MIDA.

Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Datuk Darell Leiking, menyatakan keyakinann­ya terhadap kemampanan prestasi ekonomi Malaysia.

“Pelaburan asing dan tempatan masing-masing meningkat sebanyak 35.3 peratus dan 10.5 peratus, dan ini menunjukka­n keyakinan terhadap negara.

“Dengan perubahan kerajaan yang menggalakk­an ketelusan dan usaha kami untuk memulihkan kepercayaa­n para pelabur, saya yakin angka itu akan meningkat lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini,” kata Darell. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia