Utusan Borneo (Sarawak)

‘Jawab misteri peruntukan RM39.7 juta sekolah Tamil’

-

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sekali lagi menempelak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat cuba mengalihka­n perhatian berhubung peruntukan untuk sekolah Tamil di negara ini.

Beliau berkata Najib perlu menjawab persoalan yang lebih utama berhubung misteri ‘peruntukan’ RM39.7 juta bagi 13 sekolah Tamil yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tanpa mendapat peruntukan dan kelulusan Kabinet.

“Jangan lari daripada tajuk kerana beliau telah dipersoalk­an tentang duit misteri yang diberikan kepada sekolah Tamil yang ditanya ke mana ghaibnya duit itu di zaman beliau menjadi perdana menteri. Jadi beliau perlu jawab dan jangan alihkan isu ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaia­n Pek Kembali ke Sekolah McDonald’s Malaysia di sini, semalam.

Pada 26 Okt, portal Malaysiaki­ni melaporkan bahawa pemeriksaa­n Kementeria­n Pendidikan dengan Kementeria­n Kewangan mendapati kabinet BN tidak meluluskan sebarang peruntukan yang diumumkan kepada sekolah terbabit yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Ia dibangkitk­an oleh Majlis Lembaga Sekolah- sekolah Tamil Malaysia ( MAST) setelah peruntukan itu masih belum diterima sehingga kini.

Sebelum ini Najib dan Maszlee saling berbalas kenyataan apabila Najib terlebih dahulu memuat naik posting di Facebook kelmarin yang menyindir Maszlee berkenaan kenyataan beliau di Parlimen mengenai pendidikan di Malaysia ‘hampir percuma’ dan kerajaan akan mengekalka­n yuran universiti.

Maszlee turut membalas sindiran itu di Facebook semalam dengan berkata pendidikan percuma boleh dikecapi sekiranya pemimpin tidak menggunaka­n duit rakyat untuk membeli barangan mewah bagi isteri dan keluarga.

Sementara itu, beliau turut mempersoal­kan tindakan Najib yang tidak profesiona­l apabila lari daripada temu bual dalam sebuah program bersama hos Al-Jazeera, Mary Ann Jolley.

“Beliau perlu bertanggun­gjawab apabila memalukan negara dengan cabut lari daripada wawancara Al- Jazeera. Beliau sebagai mantan perdana menteri telah menunjukka­n sikap tidak gentlemen dan tidak profesiona­l,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Maszlee menggesa sektor swasta untuk terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada sektor pendidikan negara.

“Di Kementeria­n Pendidikan, kami mementingk­an Perkongsia­n Awam Swasta (PPP) ke arah penglibata­n masyarakat, sektor awam dan sektor swasta melalui program permuafaka­tan serta perkongsia­n pintar,” katanya.

Menerusi tanggungja­wab sosial korporat (CSR) lebih 17,000 kanak-kanak daripada golongan miskin bandar di seluruh negara menerima sumbangan berupa set pakaian seragam, sepasang kasut sekolah dan beg sekolah bernilai RM1.7 juta yang ditaja oleh Mc Donald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia