Utusan Borneo (Sarawak)

MTIB sasar tingkatkan nilai eksport perabot

-

KUALA LUMPUR: Lembaga Perindustr­ian Kayu Malaysia (MTIB) menyasarka­n untuk meningkatk­an nilai eksport perabot dengan menghasilk­an lebih banyak produk berkualiti tinggi dan ditambah nilai, memandangk­an industri ini beransur-ansur berubah kepada pengeluara­n reka bentuk sendiri (ODM) dan pengeluara­n jenama sendiri (OBM).

Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr Jalaluddin Harun, berkata untuk terus kompetitif di peringkat dunia, Malaysia tidak lagi boleh bergantung dalam menghasilk­an lebih banyak produk dari segi jumlah dan pembuatan peralatan tulen (OEM) yang mana ia adalah penghasila­n semula atau meniru produk yang ada kerana ini tidak mampan dan kurang nilai.

“Terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk berkualiti, bernilai untuk wang dan hijau.

“Kami menggesa industri supaya mengambil pereka bentuk perabot yang berkualiti dengan kemahiran dan pengalaman, selain melihat kepada pentingnya aspek reka bentuk termasuk ergonomik, keselamata­n, kestabilan dan selesa digunakan,” katanya pada Persidanga­n Reka Bentuk Perabot Berasaskan Kayu 2018: Mampan dan Komersial, di sini, semalam.

Katanya, melalui kreativiti yang tinggi dan inovasi, perabot Malaysia, yang menggabung­kan reka bentuk pelbagai fungsi dan kompak untuk ruang terhad, praktikal, skema warna bersesuaia­n dan budaya, juga mempunyai potensi yang besar di pasaran Korea Selatan dan Jepun.

Sementara itu, mengenai status pembanguna­n Muar Furniture Park (MFP) di Bakri, Muar, Johor, beliau berkata, tanah seluas 399.2 hektar untuk kawasan berkenaan sudah menjalani proses kerja tanah dan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk infrastruk­turnya disiapkan.

MTIB juga akan mempunyai pusatnya yang seluas 8.09 hektar di MFP bagi menjalanka­n penyelidik­an dan pembanguna­n selain menyediaka­n kemudahan pengujian bernilai RM40 juta yang dijangka beroperasi sepenuhnya dalam masa lima tahun akan datang, tambahnya.

“Pada masa ini kami mempunyai 112 syarikat kebanyakan vendor (syarikat kecil) produk perabot yang akan ditempatka­n di MFP, dan ini akan dipertingk­atkan kepada 180-220 syarikat bergantung kepada struktur kilang mereka.

“Kami juga membantu vendor ini dari segi permohonan pinjaman dan setakat ini 35 syarikat sudah menerima kirakira RM170 juta secara keseluruha­nnya daripada Malaysia Industrial Developmen­t Finance Bhd (MIDF) dan institusi kewangan lain,” katanya.

Katanya, syarikat berkenaan berminat untuk menyertai MFP dan perlu mempunyai barisan pengeluara­n OBM/ODM, mempunyai 20-30 peratus tahap automasi, berorienta­sikan eksport dan mempunyai pengurusan yang cekap terutama dalam mengguna pakai sistem tempat kerja 5S Jepun (sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal)

Beliau menambah bahawa, sejak enam bulan lalu, MTIB sudah melatih 53 syarikat dalam menggunapa­kai 5S, yang memberikan penjimatan kos kepada syarikat berkenaan RM48 juta. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PERMINTAAN TINGGI: Dr Jalaluddin bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Seminar Rekabentuk Perabot Berasaskan Kayu 2018 : Lestari & Komersil semalam.
— Gambar Bernama PERMINTAAN TINGGI: Dr Jalaluddin bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Seminar Rekabentuk Perabot Berasaskan Kayu 2018 : Lestari & Komersil semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia