Utusan Borneo (Sarawak)

Hafizh harapkan minggu penuh bermakna di Sepang

-

SEPANG: Kedudukan 10 terbaik pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) Ahad ini akan memberi satu kepuasan kepada pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Pelumba Monster Yamaha Tech 3 berusia 24 tahun itu, yang mempunyai misi merangkul gelaran pelumba muka baharu terbaik MotoGP musim ini, berkata beliau turun berlumba minggu ini dengan cabaran menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

“Pastinya keputusan yang baik akan memuaskan hati saya apabila bersaing di Sepang buat kali pertama sebagai pelumba MotoGP. Saya sasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dan saya akan cabar diri saya minggu ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media praperlumb­aan di sini, semalam.

Hafizh kini yang mengumpul 34 mata selepas mengharung­i 17 perlumbaan ketinggala­n 12 mata di belakang pelumba Honda, Franco Morbidelli dalam pemburuan gelaran pelumba muka baharu terbaik musim 2018.

Bagaimanap­un, di Sepang minggu ini, beliau hanya mahu menikmati perlumbaan sebagai seorang pelumba yang telah lama menyimpan cita-cita menunggang jentera MotoGP di litar kebanggaan rakyat Malaysia.

“Saya akan buat yang terbaik di Sepang yang merupakan litar bersejarah bagi sukan permotoran di Malaysia. Ini kali pertama saya beraksi dalam kelas perdana di tanah air sendiri jadi ini adalah citacita yang saya inginkan dalam diri saya sebagai pelumba MotoGP,” katanya.

Sementara itu, Hafizh yang sebelum ini tidak pernah beraksi dalam keadaan litar basah sejak berlumba dalam kelas perdana berkata, beliau akan cuba menyesuaik­an diri dengan cepat sekiranya hujan membasahi litar sepanjang 5.543 kilometer itu.

“Jika hujan saya harap dapat belajar secepat mungkin sebab saya memang tiada pengalaman dalam hujan dengan jentera MotoGP,” tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia