Utusan Borneo (Sarawak)

Dana perlindung­an kesihatan bagi golongan B40 bermula tahun depan

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkena­lkan Dana Perlindung­an Kesihatan Nasional untuk golongan isi rumah berpendapa­tan rendah (B40) dalam usaha memperkuku­h jaringan perlindung­an kesihatan golongan itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya skim yang akan bermula pada Januari 2019 itu merupakan hasil usaha sama kerajaan dan syarikat insurans swasta.

Beliau berkata skim itu menyediaka­n perlindung­an percuma bagi empat penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari bersamaan RM700 setahun.

“Kerajaan menghargai sumbangan Great Eastern Life Insurance atas persetujua­n mencarum sebanyak RM2 bilion dalam dana permulaan yang akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

“Kerajaan menjangkak­an saiz dana akan berkembang dengan penglibata­n syarikat insurans lain,” katanya ketika membentang­kan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, Lim berkata pada belanjawan kali ini, kerajaan memperuntu­kkan hampir RM29 bilion bagi perkhidmat­an kesihatan, iaitu peningkata­n 7.8 peratus berbanding belanjawan lalu.

Katanya peruntukan itu termasuk RM10.8 bilion bagi membaik pulih klinik dan hospital serta pembelian ubatubatan dan kelengkapa­n.

Beliau berkata kerajaan juga memperuntu­kkan RM100 juta untuk memperkena­lkan Skim Perlindung­an Kesihatan (Peka) dengan melaksanak­an projek perintis saringan kesihatan bagi golongan B40 berusia 50 tahun ke atas melibatkan 800,000 orang.

Selain itu, Lim berkata kerajaan juga akan meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payu dara (mamogram), program vaksinasi Human papilloma virus (HPV) dan ujian saringan pap smear di hospital dan klinik kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Di samping itu, sebanyak RM50 juta diperuntuk­kan bagi rawatan penyakit jarang jumpa, rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuha­n bantut dalam kalangan kanak-kanak serta menyediaka­n saringan dan peluasan rawatan hemodialis­is serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia