Utusan Borneo (Sarawak)

APMM tahan tiga tekong, 36 PATI di perairan Lukut

-

PORT DICKSON: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia menahan tiga tekong bersama 36 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan di sekitar perairan Lukut, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun itu, ditahan dalam dua operasi berasingan.

Beliau berkata dalam kes pertama, seramai tiga tekong warganegar­a Indonesia dan 16 lelaki warganegar­a Bangladesh ditahan pada jam 2.33 pagi oleh anggota maritim yang melakukan rondaan rutin harian di sekitar perairan tersebut.

“Dalam operasi tersebut, anggota maritim telah terserempa­k dengan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigak­an dan mengarahka­nnya untuk berhenti, namun tidak diendahkan malah terus memecut laju.

“Pasukan peronda mengejar bot berkenaan dan akhirnya berjaya menahan bot yang disyaki di kedudukan kira- kira 1.6 batu nautika di barat daya Kuala Lukut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Amran berkata pemeriksaa­n lanjut mendapati bot fiber tanpa nombor pendaftara­n dengan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda digunakan untuk membawa PATI memasuki negara melalui jalan tidak diwartakan.

Beliau berkata tangkapan kedua dibuat sekitar jam 3.15 pagi tadi di kedudukan 0.1 batu nautika persisir pantai Kampung Teluk, Lukut, dekat sini.

“Tangkapan dibuat pihak Maritim Malaysia dalam satu operasi khas melalui intipan dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat APMM Putrajaya yang menerima maklumat sebuah bot berapung dalam keadaan mencurigak­an di perairan tersebut.

“Anggota maritim telah menyerbu untuk menahan bot tersebut namun gagal dan bot terbabit terus memecut laju ke arah laut setelah menurunkan PATI,” katanya.

Beliau berkata bagaimanap­un pihaknya berjaya memberkas 20 orang termasuk seorang wanita warganegar­a Bangladesh disyaki baru sahaja mendarat di perairan Malaysia.

Menurutnya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerd­agangan Orang dan Antipenyel­udupan Migran ( ATIPSOM) 2007.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bot terbabit adalah dari Dumai, Indonesia dan kegiatan penyeludup­an masuk dan keluar PATI didalangi sindiket warga tempatan dan asing yang menetap di negara ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia