Utusan Borneo (Sarawak)

Ekspedisi Taman Negara Bukit Kana untuk mengenal pasti biodiversi­ti

-

TATAU: Jabatan Hutan Negeri Sarawak dengan kerjasama Jabatan Sains Perhutanan Universiti Putra Malaysia ( UPM) Kampus Bintulu telah mengadakan Ekspedisi Mini Saintifik ke Taman Negara Bukit Kana.

Penolong Pengarah Hutan Kanan ( Bahagian Taman Negara dan Hidupan Liar) Sarawak Azahari Omar berkata, ekspedisi itu diadakan bagi mengenal pasti serta merekodkan biodiversi­ti yang terdapat taman negara tersebut.

“Tujuan utama ekspedisi adalah untuk meneroka dan mengkaji potensi kepelbagai­an sumber yang ada di Taman Negara Bukit Kana ini,” jelasnya.

Azahari berkata demikian ketika merasmikan Program Mini Ekspedisi Saintifik Taman Negara Bukit Kana anjuran Jabatan Hutan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Sains Perhutanan UPM Kampus Bintulu kelmarin.

Ekspedisi tersebut yang bertemakan ‘Membongkar Rahsia Taman Negara Bukit Kana’ bermula kelmarin hingga 11 November dan disertai 30 peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan kakitangan UPM Kampus Bintulu.

Azahari berkata, Taman Negara Bukit Kana terletak di kawasan Sangan, daerah Tatau dan diwartakan pada 15 Januari 2015 dengan keluasan 4,923 hektar.

“Taman Negara Bukit Kana merupakan salah satu daripada 42 taman negara yang terdapat di Sarawak.

“Masih banyak biodiversi­ti di Taman Negara Bukit Kana ini belum diterokai dan direkodkan,” ujarnya.

Menurutnya, bidang yang akan dikaji dalam ekspedisi tersebut adalah botani, sains tanah, serangga, pokok herba, hidupan liar, kayu, palma dan sebagainya.

“Hasil kajian ini nanti akan digunakan untuk memulihara dan memelihara Taman Negara Bukit Kana.

“Selain itu, ia juga akan menjadi asas untuk memperkasa Pelan Pengurusan Taman Negara Bukit Kana,” jelasnya.

Tambahnya, Jabatan Hutan Sarawak amat prihatin dalam usaha pemelihara­an dan pemulihara­an hutan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewartakan satu juta hektar kawasan terlindung sepenuhnya.

“Hasrat ini dinyatakan dengan jelas dalam visi Jabatan Hutan iaitu ‘Mencapai Kecemerlan­gan dalam Pengurusan Pemulihara­an Hutan Tropika’,” katanya.

Turut hadir Ketua Jabatan Sains Perhutanan UPM Kampus Bintulu Dr Roland Kueh Jui Heng, Pemangku Pegawai Daerah Tatau Mohammad Dino, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Denis Bunyam, Pegawai Pendidikan Bahagian Bintulu Fred Entau dan Penghulu Michael Agul.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia