Utusan Borneo (Sarawak)

KPDNHEP cadang bentuk rang undang-undang ‘good samaritan law’

-

KOTA BHARU: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukak­an cadangan pembentuka­n Undang-Undang Melindungi Orang membuat Kebajikan pada hujung tahun hadapan bagi memberi perlindung­an kepada pihak yang memberikan bantuan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rang undang-undang itu penting bagi mendorong lebih ramai pihak tampil memberikan sumbangan tanpa rasa bimbang.

“Undang-undang ini akan melindungi pemberi sumbangan daripada dikenakan tindakan undang-undang jika barangan yang disumbangk­an ada kecacatan atau memudaratk­an. Kita akan kemukakan cadangan tersebut hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Projek Perintis Bank Makanan Malaysia Peringkat Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sebuah pasar raya di Bandar Baharu Tunjong di sini, semalam.

Projek Bank Makanan tersebut adalah inisiatif baharu KPDNHEP dalam mengurangk­an bebanan kos sara hidup golongan memerlukan di negara ini.

Saifudin bagaimanap­un berkata tiada sebarang kes membabitka­n keracunan atau masalah lain daripada sumbangan makanan yang diagihkan setakat ini.

“Ini kerana rukun penting dalam penyaluran sumbangan adalah memastikan hanya makanan yang masih dalam kedaan baik diagihkan kepada penerima,” katanya.

Dalam pada itu katanya sejumlah 839,000 kilogram makanan, buah-buahan dan sayur- sayuran berjaya dikumpulka­n sejak program dilaksanak­an Ogos lalu dan ia telah diagihkan kepada kira-kira 27,000 penerima di seluruh negara.

Katanya setakat ini 12 buah pasar raya dan 81 buah hotel daripada enam buah negeri iaitu Sabah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur menjayakan program tersebut dan Kelantan menjadi negeri ketujuh menyertain­ya.

Beliau berkata pihaknya akan meningkatk­an usaha mengumpul lebih banyak makanan melalui kerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan lebih banyak agihan dapat disampaika­n sepanjang musim tengkujuh ini.

Sementara itu suri rumah, Noraiza Yaakob, 52, berkata program tersebut pastinya amat dinantikan rakyat Kelantan apatah lagi ketika ini musim tengkujuh telah bermula.

“Duit yang diperuntuk­kan untuk belanja dapur boleh digunakan untuk keperluan lain termasuk duit saku anak ke sekolah atau disimpan untuk persiapan persekolah­an tahun hadapan,” katanya.

Katanya program tersebut juga menunjukka­n kerajaan peka dengan keperluan rakyat selain dapat mengelakka­n pembaziran.

Dalam pada itu sukarelawa­n Kechara Soup Kitchen Alida Abdullah, 43, berkata aktiviti mengagihka­n makanan yang dimulakan 30 Okt lepas disambut baik penerima daripada golongan kurang berkemampu­an seperti ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya.

Katanya semua penerima melahirkan rasa gembira dan teruja dengan sumbangan dari pintu ke pintu tersebut terutama bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai.

“Kita harap lebih banyak pasar raya akan terlibat dengan program ini agar lebih banyak makanan dapat dikumpulka­n dan lebih ramai rakyat yang memerlukan mendapat manfaatnya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia