Utusan Borneo (Sarawak)

Nelayan disaran pasang AIS untuk rekod kedudukan bot

-

KUANTAN: Bot nelayan tempatan disarankan memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) yang dapat membantu menjelaska­n kedudukan sebenar mereka, jika berlaku kekeliruan berhubung perkara itu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata alat itu amat berguna jika berlaku kejadian mereka ditangkap penguat kuasa negara jiran sedangkan masih berada dalam perairan negara.

“AIS akan merekodkan setiap pergerakan bot... namun ada nelayan kita yang tidak membawa atau tidak memasang AIS semasa ke laut dan apabila ditangkap penguatkua­sa negara jiran, tiada rekod mereka tidak melebihi sempadan negara,” katanya.

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program 3K ( Kesegakan, Kecergasan & Kesihatan) Maritim Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Program anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (KESMAR) itu disertai 350 peserta melibatkan 13 acara sukan seperti bola sepak, olahraga, bola jaring, bola tampar dan sepak takraw.

Zulkifli menambah tindakan penguatkua­sa negara jiran dalam menahan bot nelayan tempatan adalah sebagai langkah membantera­s kegiatan jenayah seperti penyeludup­an dadah.

Pada perkembang­an lain, Zulkifli mahu supaya semua kakitangan Maritim Malaysia memastikan berat badan mereka berada di tahap baik bagi memudahkan tugasan di lapangan.

“Kita tidak mahu mereka obes kerana ia akan menyukarka­n pergerakan misalnya jika kapal yang diserbu itu mempunyai pintu yang kecil atau tangga yang agak curam dan berlaku situasi kecemasan yang memerlukan mereka untuk segera keluar.

“Jika kita mempunyai kapal yang besar dan boleh belayar selama dua atau tiga minggu, anggota yang bertugas juga diharapkan tidak mudah sakit kerana kos untuk menghantar pulang mereka yang sakit adalah mahal,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia