Utusan Borneo (Sarawak)

Pengalaman paling hiba apabila terjumpa mayat reput seorang ibu dan anaknya yang berpelukan

-

KUALA NERUS: “Masih terbayang- bayang dalam fikiran saya keadaan ngeri mayat reput yang ditemui ketika berada di Palu, Indonesia. Ia adalah situasi paling buruk yang pernah saya lalui sepanjang tempoh 14 tahun berkhidmat dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” kata Kapten ( PA) Mohd Nizu Husin.

Beliau merupakan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) yang menjadi anggota tunggal APM Terengganu yang mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaa­n Mangsa Bencana di Palu, Sulawesi, Indonesia pada 14 hingga 25 Oktober lalu.

Mohd Nizu berkata sepanjang berada di Palu, beliau banyak mengumpul pengalaman baharu dalam operasi menyelamat memandangk­an tragedi itu melibatkan tiga jenis bencana iaitu tsunami, gempa bumi dan likuifaksi (pergerakan tanah).

“Setiap detik di sana sangat berharga kerana kami perlu mencari seberapa banyak saki-baki mayat yang masih belum ditemui di bawah runtuhan bangunan dan yang tertimbus di bawah tanah, malah sepanjang operasi mencari itu dijalankan, saya sempat mengalami detik cemas beberapa siri gempa susulan dalam skala yang kecil.

“Pengalaman paling hiba bagi saya apabila terjumpa mayat reput seorang ibu dan anaknya yang berpelukan di bawah runtuhan sebuah rumah, mayat mereka terpaksa dipindahka­n dengan sangat berhati- hati kerana hanya tinggal rangka dan cebisan daging yang sudah hancur,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pentauliah­an Pegawai Kor-Siswa Siswi Pertahanan Awam ( KorSispa) di sini.

Mohd Nizu berkata sepanjang bertugas di APM, operasi yang paling mencabar buat dirinya ialah ketika kemalangan bas yang mengorbank­an 37 penumpang di Genting Highlands pada 2013.

“Seingat saya, itu pengalaman menyelamat yang paling menghibaka­n saya, namun apabila berpeluang ke Palu, lidah menjadi kelu kerana melihat kesan bencana yang sangat dahsyat dan mengerikan.

“Waktu tidur hanya tiga atau empat jam sahaja setiap malam kerana kami berazam mahu membantu seberapa ramai penduduk yang boleh dengan kerjasama dari pasukan Badan Nasional Pencarian dan Pertolonga­n (BASARNAS) Indonesia,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu pergi lagi menjadi sukarelawa­n ke Palu, Mohd Nizu berkata beliau tidak akan melepaskan peluang kedua sekiranya ada dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia menyertai misi kemanusiaa­n ke lokasi tragedi itu.

“Jangan kita takut ke sana walaupun ada ancaman gempa bumi, tsunami dan likuifaksi kerana ajal dan maut hanya Allah yang tentukan, hulurkan bantuan kepada saudara kita di sana kerana mereka sangat memerlukan bantuan dari rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama

Mayat mereka terpaksa dipindahka­n dengan sangat berhati-hati kerana hanya tinggal rangka dan cebisan daging yang sudah hancur. Kapten (PA) Mohd Nizu Husin Anggota PASPA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia