Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk dakwa rugi besar akibat banjir kilat di Pasir Puteh

-

PASIR PUTEH: Sekumpulan penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Temila, Gong Chapa dan Pulau Sa di sini mendakwa mereka mengalami kerugian besar akibat banjir kilat yang melanda secara mengejut bermula jam 3 pagi Sabtu, susulan hujan lebat berterusan sejak sebelah petang.

Seorang penduduk Gani Hussin, 61, berkata kejadian selama enam jam sehingga jam 9 pagi itu memusnahka­n harta benda khususnya peralatan elektrik yang gagal diselamatk­an kerana air naik dengan pantas.

“Kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamat­kan harta benda kerana tidak menyedari air naik dengan cepat ketika mereka sedang nyenyak tidur,“katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Gong Chapa di sini, semalam.

Katanya kejadian itu mungkin disebabkan pintu kawalan air pasang surut di Kampung Gong Kulim di bawah projek Kawasan Pembanguna­n Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) tidak dapat dibuka.

“Ini menyebabka­n ketigatiga kampung yang terletak dipinggir Terusan Semerak mudah dilanda banjir apabila aliran air yang datang dari kawasan daratan tidak dapat dialirkan ke Laut China Selatan,” katanya.

Seorang petani Wan Rosli Wan Ismail, 62, berkata sebahagian besar 130 hektar tanaman padi mereka musnah akibat ditenggala­mi air sehingga semalam.

“Sebahagian padi benih yang baharu ditabur tiga hari lepas dihanyutka­n arus deras manakala benih yang baru bercambah pula mati akibat digenangi air yang lama,” katanya.

Menurutnya mereka mengalami kerugian lebih RM700 bagi setiap 0.4 hektar termasuk kos benih padi dan upah membajak.

“Kami merayu kerajaan pusat dapat memberi bantuan sekurang- kuranya bekalan padi benih untuk membolehka­n kami menabur semula kerana kami tidak mampu lagi untuk membelinya terutama pada musim tengkujuh ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IADA Nik Hamadi Nik Abdullah ketika dihubungi berkata pihaknya tidak dapat mengalirka­n air ke laut melalui Pintu Kawalan Air Pasang Surut Gong Kulim disebabkan keadaan paras air laut lebih tinggi daripada daratan.

Beliau berkata pintu kawalan hanya dapat dibuka sepenuhnya selepas paras air laut kembali ke paras normal pada 11 pagi.

“Jika kami buka pintu itu kemungkina­n besar Pasir Puteh akan dilanda banjir yang lebih besar,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia