Utusan Borneo (Sarawak)

Cuti 800 anggota bomba N. Sembilan dibekukan

-

PORT DICKSON: Cuti 800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan dibekukan serta-merta sebagai persediaan menghadapi musim banjir kata Pengarahny­a Norazam Khamis.

Katanya langkah itu bagi memastikan tugas membantu dan menyelamat mangsa bencana banjir dapat dilaksanak­an dengan cekap dan pantas.

“Kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dengan seluruh kekuatan anggota serta pegawai yang akan dikerah menjalanka­n aktiviti menyelamat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Rumah Sejahtera di bawah Program Sayangi Rakyat di sini, semalam.

Majlis penyerahan kunci rumah disempurna­kan Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri Choo Ken Hwa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mengumumka­n cuti anggota penyelamat dibekukan ketika musim banjir.

Dalam pada itu, Norazam berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang dijangka akan berlaku banjir kilat antaranya di Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

“Banjir yang kerap berlaku di negeri ini merupakan banjir kilat dengan keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabka­n air naik di kawasan rendah.

“Saya menasihatk­an penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkina­n banjir,” katanya.

Sementara itu, penerima rumah di bawah program berkenaan Mohd Kamal Supardi, 57, menzahirka­n ucapan terima kasih kepada pihak bomba atas pembinaan semula rumahnya yang sebelum ini musnah dalam kebakaran 11 Jun lalu.

“Saya amat gembira dan bersyukur atas pembinaan semula rumah saya, ini sedikit sebanyak menghilang­kan rasa sedih selepas rumah dijilat api tiga hari sebelum hari raya puasa,” katanya.

Norazam berkata kos membina semula rumah tersebut menelan belanja RM40,000 dan mengambil masa sebulan untuk disiapkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia