Utusan Borneo (Sarawak)

Djokovic ke final, ketepi Federer pada saingan Siri Master Paris

-

PARIS, Perancis: Novak Djokovic menewaskan Roger Federer pada perlawanan separuh akhir Siri Master Paris, pada perlawanan yang beliau gambarkan sebagai “salah satu perlawanan terbaik” di antara dua musuh lama sekali gus melanjutka­n rekod kemenangan dari 22 pertemuan.

Jaguh dari Serbia itu, yang akan menggantik­an Rafael Nadal sebagai pemain nom- bor satu dunia apabila kemaskini ranking dunia dikeluarka­n hari ini, menewaskan Federer 7-6(8/6), 5-7 dan 7-6(7/3) dalam masa lebih dari tiga jam.

Beliau akan bertemu Karen Khachanov dari Rusia di final ketika impian berkongsi rekod 33 kejuaraan Siri Master dengan Nadal semakin hampir.

Djokovic sudah menang empat pertemuan terakhir menentang Federer dan kini mendahului rekod keseluruha­n 25-22 selepas belum tewas sejak 2015.

“Kami mempunyai beberapa perlawanan epik sebelum ini tetapi perlawanan hari ini boleh diletakkan sebagai salah satu perlawanan terbaik kami,” kata Djokovic, yang memburu kejuaraan keempat berturut- turut selepas menang di Cincinnati, Terbuka Amerika dan Shanghai.

“Permainan berkualiti tinggi. Bersama-sama perlawanan ketika menentang Nadal di separuh akhir Wimbledon, ini sememangny­a perlawanan paling menarik saya tahun ini dan mungkin dengan kualiti terbaik saya.

“Apabila berpeluang menentang Roger, saya tahu saya harus mengeluark­an prestasi terbaik saya untuk menang dan kerana itulah persaingan dan perlawanan di antara kami adalah sangat istimewa.”

Djokovic akan memburu kejuaraan kelima beliau di sini selepas menafikan apa yang merupakan buruan kejuaraan ke-100 buat Federer, walaupun Djokovic diberikan saingan sengit oleh Federer.

“Novak beraksi dengan baik ketika ini. Anda boleh merasainya. Akhirnya, ia hanya bergantung kepada beberapa perincian tetapi secara keseluruha­nnya saya gembira dengan permainan saya. Ia lebih bagus berbanding di Basel minggu lepas. Di sana saya memenangi kejuaraan dan di sini saya melangkah sehingga ke separuh akhir dan saya memerlukan seseorang seperti Novak untuk menewaskan saya.”

Pada perlawanan separuh akhir kedua, Khachanov, 22, melangkah ke final pertama beliau pada kejohanan peringkat Siri Master selepas mengejutka­n pilihan keenam, Dominic Thiem dari Austria 6-4 dan 6-1.

“Saya benar-benar gembira dengan kemaraan ke final tetapi kejohanan ini belum berakhir. Saya tidak sabar untuk bermain di final,” kata pemain ranking ke-18 dari Rusia itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia