Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota PKR perlu kembali sebagai satu keluarga selepas pemilihan parti

-

PENAMPANG: Naib Pengerusi PKR Sabah Kenny Chua mengingatk­an anggota PKR khususnya di Sabah untuk kembali memupuk dan memperkuku­h semula semangat kekeluarga­an antara mereka selepas proses pemilihan parti itu selesai dilaksanak­an.

Chua, yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah, berkata perpaduan dalam kalangan anggota parti amat penting sebagai medan memperbaik­i kelemahan seterusnya mengukuhka­n lagi perjuangan parti pada masa akan datang.

“Selepas pemilihan ini kita perlu kembali sebagai satu keluarga bagi terus memperkuku­h kedudukan parti termasuk memperkuat setiap cabang PKR.

“Ketua-ketua cabang baharu (dipilih dalam pemilihan parti) juga (selepas ini) perlu berbincang bagaimana memastikan kemenangan parti pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada pemilihan PKR cabang Penampang di Dewan Kampung Nosoob Baru, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Chua yang tiba di pusat pemilihan parti kirakira jam 9 pagi semalam mem- buat pengundian menerusi sistem e-undi sebelum meluangkan masa meninjau sekitar pusat pemilihan berkenaan.

Dalam pada itu, Chua berharap insiden berlaku di pusat pemilihan parti bagi cabang Keningau semalam tidak berlaku di cabang Penampang.

“Setakat ini, proses pengundian bagi cabang penampang berjalan lancar dan dalam keadaan aman,” katanya, yang turut bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Penampang pada pemilihan itu.

Kelmarin, pemilihan cabang PKR Keningau kecoh apabila penyokong seorang calon bertanding jawatan Ketua Cabang itu bertindak menceroboh pusat pemilihan selepas pusat berkenaan ditutup pada jam 4 petang.

Difahamkan, kumpulan berkenaan tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi.

Dalam kejadian itu, kumpulan yang tidak berpuas hati berkenaan bertindak memecahkan pintu dan dinding balai raya, selain mereka juga membaling kerusi dalam pusat pengundian tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia